Bank Pusat Kanada (BOC) dijangka terus mengurangkan rangsangannya terhadap ekonomi pada mesyuarat polisi malam ini, sekali gus membuka jalan untuk kenaikan kadar faedah secapatnya tahun depan di tengah tekanan inflasi yang meningkat.

Menyingkap kembali peristiwa pada April lalu, BOC telah menjadi bank pusat utama pertama yang mula mengurangkan pembelian bon dengan langkah tambahan pada Julai dan ia kini dijangka akan membuat pengurangan sekali lagi pada bulan ini.

Gabenor Tiff Macklem dijangka akan mengurangkan pembelian bon kerajaan mingguan kepada $1 bilion dari tahap semasa sebanyak $2 bilion.

Pengukuhan dicatatkan dalam laporan ekonomi yang positif juga dilihat menyokong keyakinan pelabur bahawa BOC akan membuat pengurangan dan menamatkannya pada DIsember, terutamanya selepas Gabenor Macklem memberitahu inflasi mungkin berterusan lebih lama daripada yang dijangkakan.

Ini dapat dilihat dalam beberapa siri data ekonomi, termasuk kadar pengangguran yang jatuh ke paras terendah 18 bulan, peningkatan aktiviti pembuatan dan jualan runcit, dan lonjakan inflasi pada kadar terpantas dalam tempoh 18 tahun.

Seiring dengan tekanan inflasi semasa, pelabur juga tidak menolak kemungkinan bahawa kadar faedah akan dinaikkan lebih cepat daripada dijangkakan. Sebelum ini, BOC mengatakan kenaikan kadar tidak akan berlaku sehingga pertengahan tahun 2022.

Menjelang mesyuarat polisi BOC, dagangan dolar loonie stabil di sekitar harga 1.2390 berbanding US dolar, tidak jauh dari paras ketinggian 3 bulan yang dicapainya minggu lalu.