Melangkah masuk ke sesi Eropah, semua mata tertumpu pada belanjawan tahunan UK yang akan diumumkan oleh Menteri Kewangan Rishi Sunak pada hari ini.

Peruntukan bernilai £7 bilion kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) UK dan kenaikan gaji minimum kepada £10 telah dibincangkan sebagai tawaran yang menjanjikan daripada Rishi Sunak sebelum ini.

Namun, apa yang menjadi tanda tanya sekarang adalah bagaimana mereka akan mengekang peningkatan dalam defisit belanjawan dan lonjakan inflasi semasa.

Dengan pendirian fiskal yang lebih hawkish berbanding rakan sejawatannya, Sunak membuatkan pelabur dan penggubal dasar tidak senang kerana inflasi yang tinggi di tengah-tengah kekurangan pasaran buruh dan gangguan rantaian bekalan dijangka menjejaskan ekonomi.

Angkara faktor ini, pound sterling gagal memanfaatkan peluang untuk mengekalkan pengukuhan dari jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Bank Pusat England (BOE).

Ketika penulisan, pound sterling didagangkan merosot pada sekitar harga 1.3730 berbanding dolar greenback yang terus menunjukkan pengukuhan pada sesi dagangan hari ini.

Sementara itu, penggubal dasar BOE Silvana Tenreyro mengatakan beliau memerlukan lebih banyak masa untuk menilai bagaimana penamatan subsidi pekerjaan oleh kerajaan menjejaskan pasaran buruh, memberi indikasi bahawa beliau tidak melihat keperluan mendesak untuk menaikkan kadar.