Dagangan komoditi hitam terus mengukuh di paras ketinggian tahunan selepas dikejutkan dengan kejatuhan dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat.

Menjelang sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan pada paras tertinggi tiga tahun pada $85.64 setong.

Sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula menguat di tahap tertinggi sejak Oktober 2014, pada $83.40 setong.

Terdahulu, Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) melaporkan penurunan yang tidak dijangka dalam bekalan minyak mentah AS sebanyak 431,000 tong pada minggu lalu, berbanding jangkaan untuk meningkat 1.9 juta tong.

Stok petrol AS turun lebih banyak daripada jangkaan ke tahap terendah sejak November 2019, sementara inventori penyulingan pula berada di tahap paling rendah sejak April 2020, menurut laporan yang dikeluarkan EIA pada Rabu.

Pasaran minyak telah menguat dengan ketara berikutan kekurangan bekalan arang batu dan gas asli mendorong penggunaan minyak mentah yang lebih tinggi, sekali gus menyokong kenaikan harga.

Pengeluar utama minyak, Arab Saudi juga enggan untuk menambah bekalan minyak mentah dalam pasaran melalui perjanjian dengan OPEC+ untuk meredakan tekanan daripada kenaikan harga menyebabkan dagangan emas hitam terus kukuh.