US dolar menamatkan dagangan pada penghujung minggu lalu dengan suram selepas data ekonomi Amerika Syarikat (AS) tetap gagal untuk memberi suntikan lonjakan terhadap raja mata wang tersebut.

Sesi New York pada Jumaat lalu menyaksikan terbitan data jualan runcit AS untuk bulan September yang mencatatkan bacaan positif berbanding jangkaan, namun lebih rendah berbanding angka sebelumnya.

Kemudiannya data keyakinan pengguna AS yang menyusul turut mencatatkan bacaan angka yang menurun yang menimbulkan kebimbangan pasaran terhadap perbelanjaan pengguna di AS.

Indeks dolar telah mencatatkan penurunan sekitar 0.6% dari paras tertinggi 2021 yang dicapai minggu lalu sementara pelabur berpendapat tekanan harga akan menggesa Federal Reserve (Fed) menaikkan kadar faedah dan bank-bank pusat yang lain perlu turut agresif ke arah pengetatan polisi.

Situasi penyusutan US dolar dilihat akan terus memberi ruang kepada mata wang utama yang lain dalam pasaran untuk mencatatkan peningkatan pada minggu ini sementara data-data ekonomi tumpuan sepanjang minggu ini akan dipantau.

Perkembangan mata wang Eropah, walaupun Euro gagal manfaatkan peluang untuk meningkat lebih tinggi berbanding US dolar, Pound sebaliknya papar prestasi positif dengan suntikan kenyataan hawkish oleh Gabenor bank pusat UK sebelum ini yang memberi petunjuk untuk pengetatan polisi.

Dolar New Zealand catat peningkatan terbesar bagi inflasi suku tahunan yang berakhir September untuk tempoh sedekad.

Lonjakan data inflasi New Zealand yang diterbitkan pada sesi Asia awal minggu ini telah melonjakkan Kiwi ke paras tertinggi 1 bulan dengan peningkatan sekitar 0.3%.

Dolar Australia pula berlegar di paras tertinggi 6 minggu pada pembukaan sesi dagangan minggu ini selepas pamer prestasi cemerlang pada minggu lalu.

Sementara itu, pasaran komoditi mengejutkan pelabur emas apabila logam kuning berharga tersebut telah kembali menjunam semula sekitar $35 selepas harga mencapai paras ketinggian $1,800 pada Khamis lalu.