Pembukaan pasaran awal minggu ini memberi tumpuan kepada terbitan data pertumbuhan ekonomi China bagi suku ketiga untuk pelabur menilai sentimen pasaran semasa.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan China untuk suku ketiga mencatatkan penurunan ke paras 4.9%, sedikit lebih rendah berbanding jangkaan penurunan ke apras 5.0% berbanding 7.9% angka bacaan terdahulu.

Bacaan yang sedikit tersasar rendah dilihat mendorong peningkatan risiko pada sentimen pasaran pada awal sesi dagangan Asia di awal minggu ini.

Sentimen risk-off pasaran akan memberi kelebihan kepada dagangan mata wang safe-haven, namun mata wang komoditi seperti dolar Australia dan dolar New Zealand telah mula paparkan penurunan semula.

Dolar New Zealand dilihat gagal untuk mengekalkan momentum kenaikannya walaupun data inflasi untuk suku ketiga mencatatkan lonjakan terbesar untuk bacaan suku tahunan dalam tempoh sedekad.

Ini adalah berikutan risiko langkah penutupan ekonomi di Auckland, New Zealand dengan amaran tahap 3 oleh Perdana Menteri Jacinda Ardern bakal dilanjutkan untuk tempoh 2 minggu lagi.

Sementara, bagi mata wang US dolar pula, pengukuhan awal dipamerkan pada permulaan sesi Eropah hari ini dengan sokongan peningkatan hasil bon 10 tahun AS ke paras 1.60% semula di samping sentimen pasaran yang dinilai berisiko selepas terbitan data ekonomi China.

Bagi mata wang Eropah, Pound bergerak lebih baik berbanding Euro dalam pasaran.

Unjuran positif bank pusat England terhadap dasar monetari dan perkembangan semasa Brexit yang positif masih memberi sokongan terhadap Pound.

Sementara pelabur kekal waspada terhadap Euro ekoran unjuran dovish bank pusat Eropah terhadap dasar monetari mengurangkan tarikan terhadap mata wang tersebut.

Pelabur juga ingin melihat sama ada pergerakan harga emas akan terus mengalami kemerosotan lebih parah pada minggu ini atau kembali semula untuk mencapai paras ketinggian $1,800.