Justin Trudeau berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Kanada, tetapi gagal memperoleh majoriti mutlak dalam pilihan raya persekutuan yang berlangsung pada Isnin.

Trudeau telah mengumumkan untuk mengadakan pilihan raya mengejut pada bulan lalu, dengan harapan ia dapat meneruskan agendanya untuk meningkatkan kadar vaksinasi dan membendung wabak coronavirus tanpa memerlukan sokongan pembangkang.

Bagaimanapun, beliau masih gagal mendapatkan majoriti parlimen. Ini merupakan kali kedua pengundi menolak beliau sebagai pengawal penuh perundangan, membataskan kebebasannya untuk mengambil risiko besar atau secara sepihak.

Media tempatan, CBC dan CTV melaporkan bahawa parti Liberal pimpinan Trudeau akan memiliki minoriti kerusi di Dewan Rakyat, yang bermaksud beliau memerlukan sokongan pihak lain untuk memerintah.

Parti Liberal memenangi 156 kerusi, berbanding 170 kerusi yang diperlukan untuk memegang kuasa majoriti di parlimen. Secara keseluruhan, Dewan Rakyat terdiri dari 338 kerusi.

Dolar Kanada kembali meningkat dari paras terendah hampir satu bulan, dengan didagangkan 0.4% lebih tinggi berbanding dolar greenback yang telah mula mempamerkan penyusutan menjelang mesyuarat polisi Federal Reserve (Fed).

Impak daripada pilihan raya tidak banyak mempengaruhi dagangan dolar loonie memandangkan pelabur sudah menjangkakan bahawa Trudeau akan memenanginya.