Harga minyak mentah turut menerima tempias dari kekuatan matawang US dolar, menyebabkan dagangan komoditi hitam itu didagangkan suram pada awal minggu.

Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan susut pada $74.88 setong, manakala niaga hadapan WTI Amerika Syarikat pula turun pada sekitar harga $71.40 setong.

Walaupun susut, namun harga minyak mentah masih bertahan di sekitar paras tertinggi satu bulan yang dicapainya minggu lalu.

Penyusutan ini menyusuli pengukuhan raja matawang US dolar ke tahap tertinggi tiga minggu susulan bacaan data jualan runcit AS yang lebih baik daripada dijangkakan. Nilai USD yang kuat menjadikan harga minyak lebih mahal bagi pemegang matawang utama lain.

Sementara itu, komoditi hitam juga mengurangkan keuntungan setelah lebih banyak syarikat tenaga memulakan semula operasi pengeluaran minyak di Teluk Mexico yang dilanda taufan Ida.

Ribut tropika Nicholas tidak memberi impak kepada fasiliti di Texas, yang membolehkan syarikat tenaga untuk segera memperbaiki perkhidmatan saluran paip dan elektrik mereka.

Setakat hari Jumaat, sekitar 23% atau sebanyak 422,000 tong sehari pengeluaran minyak mentah di Teluk Mexico masih lagi ditutup.