Pilihan raya Kanada akan berlangsung hari ini setelah ia diumumkan secara mengejut oleh Perdana Menteri Justin Trudeau pada bulan lalu yang ingin mencari mandat baru bagi menangani krisis Covid-19.

Trudeau telah berdepan kritikan kerana mengadakan pilihan raya dua tahun awal dari tarikh sepatutnya, tetapi beliau mempertahankan keputusan itu dengan mengatakan bahawa beliau mahukan rakyat Kanada memiliki suara dalam bagaimana negara itu pulih dari wabak itu.

Susulan pengumuman ini juga, ia menyebabkan pelabur asing bimbang bahawa pilihan raya tersebut akan menyebabkan kebuntuan dalam tindak balas Kanada untuk menangani coronavirus dan seterusnya memperlambatkan lagi pemulihan ekonomi.

Pada hari Khamis, Fitch Ratings telah mengurangkan unjurannya terhadap pertumbuhan ekonomi Kanada untuk tahun 2021 kepada 5% daripada 6.6%.

Dolar Kanada terus mempamerkan kejatuhan menjelang pilihan raya, dengan pergerakan harga semakin menghampiri paras terendah hampir empat minggu berbanding US dolar yang kuat.

Sepanjang kempen pilihan raya berjalan, parti Liberal yang dipimpin oleh Trudeau dan parti Konservatif yang diketuai Erin O’Toole telah mempamerkan persaingan yang kuat.

Bagaimanapun, parti Liberal dijangka akan memenangi lebih banyak kerusi parlimen daripada Konservatif. Sekiranya ia berlaku, loonie mungkin kurang memberi reaksi dan terus didagangkan rendah.