Kebimbangan terhadap kenaikan harga gas telah menambah bebanan buat dagangan matawang pound yang turut menerima tekanan daripada pengukuhan US dolar.

Pada hujung minggu, Setiausaha Perniagaan Kwasi Kwarteng dilaporkan telah mengadakan perbincangan dengan eksekutif kanan dari syarikat tenaga bagi mengetahui sejauh mana kenaikan harga yang meluas terhadap syarikat dan isi rumah.

Antara punca yang dikatakan telah mendorong peningkatan ini adalah permintaan global yang tinggi dan masalah penyelenggaraan di beberapa lokasi pengeluaran.

Susulan itu, sekurang-kurangnya lima syarikat pembekal kecil telah jatuh bankrap dalam tempoh lima minggu terakhir dan sumber industri menjangkakan empat lagi akan mengalami nasib sama sebelum akhir bulan ini, menurut The Guardian.

Harga gas yang tinggi juga akan mengakibatkan perlambatan di kilang keluli UK dan kimia industri, sekali gus menimbulkan ancaman kepada industri makanan yang bergantung pada karbon dioksida (CO2).

Walaupun begitu, Perdana Menteri Boris Johnson mengatakan lonjakan harga gas ini adalah masalah sementara yang disebabkan oleh kebangkitan semula ekonomi global dari wabak coronavirus, di mana permintaan gas yang luar biasa dari Asia telah mempengaruhi bekalan di UK.

Beliau juga menyatakan keyakinannya bahawa rantaian bekalan di UK akan pulih dan akan bekerjasama dengan syarikat gas untuk memastikan keperluan pengguna dipenuhi.

Matawang pound menjunam ke paras terendah hampir satu bulan, dengan didagangkan rendah pada sekitar harga 1.3660 berbanding US dolar. Mesyuarat polisi Bank of England (BOE) pada Khamis ini juga akan menjadi tumpuan pelabur yang mengharapkan perubahan dasar dari bank pusat.