Dagangan komoditti hitam melonjak selepas data menunjukkan inventori minyak mentah Amerika Syarikat jatuh lebih banyak daripada dijangkakan dan OPEC pula meningkatkan prospek terhadap permintaan minyak.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 1.3% kepada $64.50 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula menokok 1.4% pada $61 setong.

Terbaru, menurut laporan bulanan yang dikeluarkan pada Selasa, OPEC telah meningkatkan unjuran penggunaan untuk tahun 2021 dan meramalkan bahawa pemulihan dalam pasaran minyak mentah akan berterusan dalam beberapa bulan akan datang.

OPEC mengubah ramalannya dengan menjangkakan permintaan akan meningkat sebanyak 5.95 juta tong sehari pada tahun ini, iaitu 70,000 tong sehari lebih tinggi daripada ramalannya bulan lalu.

Tambahan daripada itu, penggunaan yang meningkat dikatakan akan membantu bekalan untuk kekal rendah, walaupun OPEC bersedia untuk melonggarkan pemotongan pengeluaran pada bulan Mei.

Sementara itu, Institut Petroleum Amerika (API) melaporkan penurunan dalam bekalan minyak mentah AS sebanyak 3.6 juta tong pada minggu lepas turut menyokong pengukuhan harga.