Kebanyakan matawang utama menyambung kenaikan lebih tinggi, di tengah-tengah penyusutan US dolar ke tahap terendah 3 minggu pada awal sesi Eropah.

Beberapa indeks saham AS juga telah mencapai paras tertinggi terbaru dan turut mempengaruhi pasaran Asia dan Eropah. Kadar inflasi AS yang meningkat pada bulan Mac, tidaklah seperti yang ditakuti oleh pasaran yang menjangkakan kenaikan sangat kuat.

Indeks harga pengguna (CPI) yang menjadi pengukur kepada kadar inflasi, mencatatkan kenaikan tertinggi dalam tempoh 8 setengah tahun pada bulan Mac sebanyak 0.6% dari 0.5% sebelumnya.

Secara tahunan, kadar inflasi mengalahkan jangkaan untuk peningkatan 2.5% dengan meningkat sebanyak 2.6%, iaitu kenaikan tertinggi sejak Ogos 2018.

Kemerosotan US dolar menunjukkan bahawa pelabur tidak menganggap bacaan inflasi yang tinggi ini akan mendorong Fed untuk mengetatkan dasarnya.

Penurunan hasil bon AS 10 tahun ke sekitar 1.62% disebabkan permintaan yang tinggi ketika lelongan bon 30 tahun turut mempengaruhi penyusutan dolar greenback.

Dagangan euro dan matawang pound meraih pengukuhan susulan kelemahan USD walaupun terdapat berita kurang menyenangkan mengenai Johnson & Johnson yang menangguh penghantaran vaksinnya ke Eropah berikutan kebimbangan terhadap kesan sampingan darah beku yang timbul di Amerika.

Sementara itu, matawang berkaitan komoditi turut meningkat lebih tinggi, dengan dolar Aussie dan kiwi masing-masing mencatatkan kenaikan ke paras ketinggian 3 minggu berbanding US dolar.