Harga minyak melonjak ke tahap tertinggi sejak Februari dengan minyak mentah WTI menembusi paras harga $53 setong setelah data bekalan minyak mentah menunjukkan bacaan yang memberangsangkan.

Institut Petroleum Amerika (API) melaporkan penurunan ketara dalam inventori minyak mentah Amerika Syarikat sebanyak 5.82 juta tong pada minggu lalu, selepas kejatuhan 1.67 juta tong pada minggu sebelumnya.

Namun begitu, Inventori petrol masih menunjukkan peningkatan, di mana penambahan sebanyak 1.88 juta tong telah dicatatkan minggu lepas, sementara stok penyulingan pula meningkat sebanyak 4.43 juta tong.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 1.3% dan didagangkan mengukuh pada $57.33 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula menokok 1.2% pada $53.85 setong.

Kedua-dua penanda aras ini didagangkan pada tahap tertinggi sejak Februari, di mana sebelum wabak coronavirus di China mula merebak ke seluruh dunia dan berbilion orang terkunci untuk mencegah penularan wabak.

Walau bagaimanapun, risiko dalam pasaran minyak mentah tetap ada memandangkan dunia masih diancam oleh gelombang baru jangkitan Covid-19 di seluruh dunia dan mengharapkan supaya dengan pelancaran vaksin, keadaan akan beransur pulih.