Harapan terhadap pemulihan ekonomi global yang sebelum ini dibantutkan oleh pandemik coronavirus, telah mengangkat dagangan matawang berisiko untuk terus didagangkan mengukuh.

Turut membantu pengukuhan matawang utama, adalah kelemahan US dolar yang dipengaruhi oleh ketegangan yang semakin meningkat di Amerika Syarikat susulan kematian George Floyd, seorang warga Afrika-Amerika di tangan polis baru-baru ini.

Presiden AS Donald Trump, dalam satu kenyataannya di White House pada Isnin, mengatakan bahawa beliau telah mengerahkan ribuan tentera bersenjata untuk menghentikan rusuhan di ibu negara AS, dan berjanji untuk melakukan tindakan yang sama di bandar-bandar lain jika gabenor dan ketua bandar gagal menghentikannya.

Sementara itu, data yang diterbitkan malam tadi, memperlihatkan pertumbuhan dalam aktiviti pembuatan AS yang bertambah baik. Walaupun bacaannya lebih lemah daripada yang diramalkan, tetapi ia sejajar dengan jangkaan pasaran bahawa ia tidak lagi merekodkan penurunan terburuk memandangkan perniagaan telah dibuka semula.

Euro didagangkan mendatar berikutan data tempatan menunjukkan penguncupan ekonomi yang berterusan pada bulan Mei. Pelabur juga berwaspada menjelang mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) dan laporan pekerjaan NFP AS yang dijadualkan pada akhir minggu ini.

Selain itu, pound kekal diniagakan meningkat, disokong oleh harapan terhadap pakej rangsangan selanjutnya oleh kerajaan UK dan laporan positif mengenai Brexit yang dikatakan UK mungkin akan berkompromi terhadap peraturan perdagangan dituntut Kesatuan Eropah (EU).

Di sisi lain, dolar Aussie kembali meraih pengukuhan berbanding US dolar pada awal dagangan sesi Asia dengan meningkat ke paras ketinggian 4 bulan, menjelang mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) pada tengah hari ini.

Laporan mengenai China yang akan menghentikan pembelian kacang soya dan daging babi dari Amerika Syarikat sedikit menggoyahkan sentimen pasaran, yang mana ia telah membantutkan peningkatan dolar Aussie, kiwi dan Kanada.

Bagaimanapun, setelah pasaran menilai perkara itu dengan hakikat bahawa China masih belum membuat pembelian kacang soya dari AS pada tahun ini, sentimen risiko pasaran mulai pulih dengan menyaksikan peningkatan matawang utama.