Pasukan rundingan perdagangan Kesatuan Eropah (EU) dan UK akan meneruskan perbincangan perdagangan pasca Brexit pada hari ini dengan harapan kedua-dua pihak akan memecahkan kebuntuan antara mereka untuk mencapai kesepakatan.

Terbaru, The Times UK melaporkan bahawa Britain mungkin berkompromi terhadap perundangan perikanan dan perdagangan sama rata sekiranya EU bersetuju untuk menarik balik tuntutan ‘maksimalis’ berhubung penyelarasan peraturan dan akses penangkapan ikan.

Hal ini sedikit sebanyak telah mengangkat harapan untuk melihat EU dan UK mencapai persetujuan sebelum tarikh akhir rundingan.

Dalam pada itu, Ketua Perunding Brexit EU, Michel Barnier yakin bahawa UK akan bertindak terlebih dahulu untuk memecahkan kebuntuan dalam rundingan yang akan disambung semula.

Walau bagaimanapun, pasaran tetap berwaspada memandangkan kedua-dua pihak sebelum ini menunjukkan keengganan mereka untuk bersetuju dengan terma-terma yang dicadangkan.

Malah, sebelum ini juga UK dan EU saling menunding jari bahawa masing-masing sengaja memperlambatkan usaha rundingan yang menunjukkan keengganan mereka untuk memeterai perjanjian perdagangan.

Michel Barnier dalam satu temu bual bersama The Sunday Times, telah menuduh bahawa UK tidak menepati janji asal yang diusul ketika rundingan Brexit. Sebagai tindak balas kepada kenyataan itu, sumber kerajaan UK yang dipetik The Daily Telegraph memberitahu bahawa EU sengaja melambatkan rundingan mereka kerana tidak mahu mencapao perjanjian.

Sementara itu dalam laporan berasingan, Perdana Menteri UK Boris Johnson dikatakan sedang merancang untuk mengadakan rundingan bersama Presiden Suruhanjaya Eropah, ursula von der Leyen pada bulan ini.