Kementerian Luar Negeri China mengeluarkan kenyataan pada hari ini, menyatakan bahawa tidak ada maklumat mengenai penghentian pembelian kacang soya dari Amerika Syarikat seperti mana yang dilaporkan Bloomberg semalam.

Kementerian itu juga menegaskan bahawa isu yang berlaku di Hong Kong adalah urusan hal ehwal dalaman negaranya.

Sementara itu, Zhang Xiaoping, Pengarah Negara untuk China di Majlis Eksport Kacang Soya AS, memberitahu kepada Global Times bahawa firma dari negara itu masih meneruskan pembelian kacang soya selari dengan peraturan pasaran, tanpa dijejaskan oleh faktor luaran.

Hal ini dibuktikan dengan pembelian oleh firma China ke atas kacang soya yang baru dituai pada Isnin, menurut Zhang Xiaoping.

Sementara itu dalam laporan berasingan, Reuters melaporkan bahawa syarikat China yang dimiliki negara telah membeli sekurang-kurangnya tiga kargo kacang soya dari Amerika Syarikat pada hari Isnin.

Matawang sensitif perdagangan, dolar Aussie menokok ke paras tertinggi sejak bulan Januari berbanding USD, selain turut disokong oleh sentimen semasa dan keyakinan terhadap pemulihan susulan penutupan ekonomi yang disebabkan pandemik coronavirus.

Dolar Aussie sebelum ini gagal memberi reaksi ketara susulan keputusan Reserve Bank of Australia (RBA) yang mengekalkan kadar faedah pada paras terendah 0.25% dalam mesyuarat polisi bagi bulan Jun.

Turut meraih manfaat sebagai matawang komoditi, dolar New Zealand dan dolar Kanada yang juga mempamerkan peningkatan berbanding US dolar pada sesi Eropah.

Terdahulu, Bloomberg melaporkan bahawa kerajaan China telah menggesa supaya firma-firma negara itu untuk menghentikan pembelian beberapa barangan pertanian dari AS, termasuk kacang soya sebagai tindak balas kepada campur tangan Washington dalam isu undang-undang keselamatan baru Hong Kong.