Harga emas mempamerkan peningkatan pada sesi dagangan hari ini, didorong oleh pelabur yang meningkatkan permintaan terhadap aset safe-haven berikutan rusuhan yang berlaku di Amerika Syarikat.

Memasuki sesi Eropah, logam berharga itu terus mengekalkan pengukuhannya dengan didagangkan meningkat di sekitar paras harga $1,740 per auns, sementara niaga hadapan emas pula menokok 0.2% kepada $1,756 per auns.

Penunjuk perasaan telah membanjiri bandar-bandar di Amerika Syarikat susulan kematian George Floyd, lelaki berkulit gelap ketika berada dalam tahanan polis telah mencetuskan kemarahan yang berunsurkan politik dan perkauman.

Malah, perhimpunan orang ramai dan penunjuk perasaan yang tidak memakai topeng turut menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan semula kes COVID-19 yang telah membunuh lebih 101,000 rakyat Amerika.

Sementara itu dalam tindakan balas Amerika Syarikat terhadap tindakan China meluluskan undang-undang keselamatan Hong Kong, Presiden Donald Trump pada Jumaat lalu telah mengumumkan akan menarik balik status istimewa Hong Kong.

Namun begitu, kebimbangan pelabur sedikit reda berikutan kenyataan Trump yang tidak langsung menyebut mengenai pengenaan tarif tambahan ke atas China, yang boleh menggugat perjanjian yang ditandatangani Januari lalu.

Pengumuman bahawa Washington tidak lagi menganggap Hong Kong sebagai autonomi dari China baru-baru ini, telah menimbulkan kebimbangan mengenai kesan terhadap peranan Hong Kong sebagai hub kewangan dan perdagangan antarabangsa.