Euro kembali diniagakan lemah pada Rabu selepas mencatatkan pengukuhan berbanding US dolar pada dagangan semalam dengan kenaikan harian pada carta harga pasangan EUR/USD mencecah sekitar 140 pips.

Penyusutan Euro hari ini adalah didorong tekanan oleh perbincangan di antara Menteri-menteri kewangan zon Eropah yang gagal mencapai persetujuan untuk langkah tindak balas ekonomi terhadap krisis wabak yang melanda.

Jerman melaporkan kenaikan harian kes kematian akibat COVID-19 yang terbesar setakat ini dengan jumlah kes telah melebihi 100,000 kes.

Setelah mencatatkan kenaikan ke paras tertinggi mingguan melepasi 1.0920 pada carta EUR/USD semalam, harga kembali membuat penurunan semula sehingga sesi Asia hari ini.

Penurunan harga bermula sesi Asia sehingga awal sesi Eropah telah mencatatkan 70 pips penurunan menguji paras sokongan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam pergerakan harga.

Penurunan yang akan diteruskan bakal menuju paras 1.0800 menguji zon RBS (resistance become support) tersebut.

Penurunan lebih rendah dilihat akan menuju paras tumpuan pada 1.0740 sebelum harga menguji zon support pada 1.0650.

Namun jika harga kembali membuat kenaikan semula, paras ketinggian semalam akan diuji sebelum kenaikan yang diteruskan akan menuju zon SBR (support become resistance) di bawah paras 1.1000.

Kenaikan lebih tinggi akan menuju paras tumpuan pada zon sekitar 1.1100 jika US dolar diniagakan lebih lemah berbanding Euro dalam pasaran.

Minit mesyuarat bank pusat Eropah serta data tuntutan pengangguran Amerika Syarikat akan menjadi tumpuan pada Khamis.