Dagangan USD kekal diniagakan menyusut manakala niaga hadapan saham AS pula dibuka rendah selepas Pusat Kawalan Penyakit dan Pakar Pencegahan AS (CDC) hari ini mengesahkan kes jangkitan coronavirus di California.

Penularan yang semakin meluas di luar China telah menimbulkan kebimbangan bahawa kesan ekonomi daripada sekatan perjalanan, gangguan rantaian bekalan dan kejatuhan permintaan mungkin lebih besar daripada yang dijangkakan sebelumnya.

Selain itu, Presiden AS Donald Trump memberi jaminan kepada rakyat Amerika bahawa risiko coronavirus masih berada di tahap sangat rendah dan beliau telah melantik Naib Presiden Mike Pence sebagai orang yang bertanggungjawab dalam menangani krisis tersebut.

Dalam taklimat yang disampaikan pagi tadi, Trump berkata pegawai kesihatan awam sedang bersedia untuk bertindak dalam menangani wabak itu. Beliau juga akan menerima apa-apa saja jumlah dana kecemasan yang diperuntukkan oleh Kongres.

Sementara itu, penerbitan bacaan awal data pertumbuhan ekonomi GDP Amerika Syarikat malam ini, akan menjadi perhatian pasaran.

Di Eropah, dolar euro terus mengekalkan momentum pengukuhannya berbanding USD disokong oleh kenyataan Menteri Kewangan Jerman Olaf Scholz mengenai rancangan untuk menggantung hutang Jerman untuk sementara waktu untuk membantu kerajaan tempatan,
Sementara dalam ucapan malam tadi, Presiden ECB, Christine Lagarde pula mengalu-alukan rangsangan fiskal untuk menyokong ekonomi.

Pasangan matawang pound berbanding USD mencatat penurunan sekitar 100 pips ekoran kebimbangan mengenai belanjawan UK yang akan dibentangkan pada bulan depan mungkin akan mengecewakan pasaran yang menantikan rangsangan fiskal.

Penganalisis kini meragui sama ada akan ada peningkatan perbelanjaaan yang mencukupi untuk merangsang ekonomi dan merangsang kenaikan matawang pound seperti yang dijangkakan sebelum ini.

Mengikuti perkembangan Brexit pula, Ketua Perunding Brexit EU Michel Barnier memberitahu bahawa jika Britain dapat memeberi jaminan bagi persaingan yang adil, EU bersedia untuk menawarkan akses keutamaan ke pasarannya kepada UK.