Berikut merupakan sebahagian data-data penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.

Laporan Pekerjaan UK (Selasa 5.30 Petang): Pertumbuhan pendapatan di UK menunjukkan siri penurunan dari paras 4.0% bulan Julai 2019 dengan jangkaan untuk Disember kekal menurun. Kadar pengangguran diramalkan kekal di paras 3.8%, paras rekod terendah. Tanpa peningkatan gaji, inflasi dijangka sukar untuk meningkat.

Sentimen Ekonomi ZEW Jerman (Selasa 6.00 Petang): Sentimen ekonomi tinjauan ZEW mencatatkan kenaikan ketara pada Januari kepada 26.7 mata. Bacaan untuk Februari juga diramalkan kukuh. Perubahan pada sentimen keyakinan perniagaan akan diberi tumpuan oleh bank pusat Eropah.

Data Inflasi UK (Rabu 5.30 Petang): Ekonomi Britain yang lemah gagal menyokong inflasi dengan penurunan indeks harga pengguna (CPI) pada Disember 2019 yang merupakan penurunan bulanan terbesar sejak November 2016. Inflasi dijangka meningkat pada Januari dengan ramalan bacaan meningkat kepada 1.7%.

Data Inflasi Kanada (Rabu 9.30 Malam): Kadar inflasi Kanada dijangka meningkat kepada 0.3% untuk bulan Januari selepas bulan sebelumnya mencatatkan inflasi sifar 0.0%.

Minit Mesyuarat FOMC (Khamis 3.00 Pagi): Minit akan memberikan butiran untuk mesyuarat polisi terbaru. Fed telah memberikan isyarat bahawa tiada rancangan untuk penurunan lebih lanjut kadar faedah dalam masa terdekat dan menyatakan akan mengemaskini semula rancangan pelonggaran kuantitatif sekiranya berlaku krisis kewangan.

Laporan Pekerjaan Australia (Khamis 8.30 Pagi): Pasaran buruh kekal kukuh dengan catatan baik pada penciptaan pekerjaan baru 2 bulan lalu. Januari dijangka akan mencatatkan 10,000 pertambahan pekerjaan, namun lebih rendah berbanding Disember. Kadar pengangguran diramal meningkat kepada 5.2% semula selepas merekodkan penurunan kepada 5.1% pada Disember, terendah sejak Mac 2019.

Data Jualan Runcit UK (Khamis 5.30 Petang): Kadar jualan runcit berterusan lemah sejak penurunan pada Ogos tahun lalu sehingga Disember. Bacaan dijangka meningkat untuk bulan Januari 2020 pada bacaan 0.7%.

Minit Mesyuarat ECB (Khamis 8.30 Malam): Para pelabur akan menilai butiran pada mesyuarat European Central Bank (ECB) Januari lalu untuk petunjuk polisi monetari seterusnya. Presiden Christine Lagarde mengatakan beliau mengharapkan kenaikan pada kadar faedah, tetapi memerlukan pertumbuhan dan inflasi yang kukuh terlebih dahulu.

Data PMI Pembuatan dan Perkhidmatan Eropah (Jumaat 5.00 Petang): Sesi Eropah pada Jumaat akan menyaksikan data PMI diterbitkan dimulai Perancis dan Jerman sebelum menyusul data PMI untuk keseluruhan zon Eropah. Data Januari menunjukkan pertumbuhan pada sektor perkhidamatan namun penguncupan berterusan di bagi pembuatan Jerman dan zon Eropah. Kedua-dua sektor masih diramalkan lemah pada Februari.

Data PMI Pembuatan dan Perkhidmatan UK (Jumaat 5.30 Petang): Kedua-dua sektor pembuatan dan perkhidmatan di UK menunjukkan bacaan yang meningkat pada Januari dengan jangkaan bacaan data pada Februari kekal meneruskan peningkatan tersebut.

Data Jualan Runcit Kanada (Jumaat 9.30 Malam): Kadar jualan runcit di Kanada melonjak 0.9% pada November merekodkan kenaikan terbesar sejak Mac 2019. Namun, ia dilihat sebagai peningkatan sementara dengan jangkaan terbaru penganalisis untuk bulan Disember lebih perlahan pada 0.1%. Bacaan teras dijangka meningkat kepada 0.4% berbanding 0.2% pad bulan sebelumnya.

Data PMI Pembuatan dan Perkhidmatan Amerika Syarikat (Jumaat 10.45 Malam): Data PMI telah berada di paras 50, menunjukkan sektor masih berkembang. Perubahan kecil dijangkakan pada bacaan data untuk Februari iaitu pada 51.5 mata berbanding pada Januari pada 51.9 mata untuk pembuatan. Manakala data perkhimatan pula dijangka sedikit meningkat kepada 53.5 mata berbanding 53.3 sebelumnya.