Dolar Amerika mula mempamerkan pemulihan pada sesi Asia dengan diniagakan kukuh berbanding matawang utama. US dolar kembali meningkat berbanding safe-haven yen selepas susut lebih rendah pada sesi New York disebabkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penularan Coronavirus.

Bagi mengelakkan penyebaran lebih luas di seluruh dunia, China telah membatalkan sambutan perayaan Tahun Baru China meskipun terdapat laporan bahawa virus itu sudah mula merebak ke negara lain.

Kekhuatiran terhadap penularan wabak itu semakin bertambah apabila Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesahkan bahawa kes pertama wabak itu telah dikesan di Seattle, Amerika Syarikat.

Ini menyebabkan saham didagangkan lebih rendah pada sesi New York, terutamanya bagi syarikat-syarikat penerbangan dan perhotelan.

Matawang Asia, dolar Aussie dan New Zealand kekal lemah berikutan ancaman wabak penyakit yang boleh membawa maut itu dengan matawang AUD diniagakan susut sehingga hampir mencecah paras terendah 10 minggu berbanding dolar USD.

Data pekerjaan UK yang kukuh telah mendorong peningkatan matawang pound untuk meningkat sebanyak 0.3% berbanding USD. Kadar pengangguran kekal direkodkan pada 3.8% manakala purata pendapatan mingguan UK pula meningkat kepada 3.2%, lebih baik dari jangkaan pasaran untuk naik 3.1%.

Sementara dolar Euro pula kembali lemah berbanding USD selepas meningkat berikutan data indeks sentimen ekonomi ZEW Jerman bagi bulan Januari yang jauh lebih baik daripada jangkaan pasaran dengan bacaan 26.7 berbanding 15.0.

Selain itu, dagangan loonie pula terus melemah berbanding dolar USD apabila harga minyak turun dan data ekonomi menunjukkan jualan pembuatan Kanada jatuh untuk bulan ketiga berturut-turut.

Tumpuan pasaran kini terarah kepada mesyuarat dasar monetari Bank of Canada (BOC) pada malam ini yang dijangka akan mengekalkan kadar faedahnya pada paras 1.75%.