Bank of England (BoE) dilapor akan mempertimbangkan dan mengkaji penggunaan matawang digital apabila satu kerjasama antara beberapa bank pusat utama telah diwujudkan untuk menilai kes-kes bagi mengeluarkan matawang digital mereka sendiri.

Melalui satu kenyataan ringkas oleh bank pusat global, Bank pusat England, Eropah, Jepun, Sweden dan Switzerland telah membentuk satu kumpulan khas untuk berkongsi dapatan kajian mereka yang turut dibantu oleh Bank of International Settlements (BIS).

Timbalan Gabenor Boe, Jon Cunliffe akan mengetuai kumpulan itu bersama bekas ahli lembaga pengarah ECB Benoit Coeure dan ketua hub inovasi BIS.

Kumpulan ini dikatakan akan menilai kes penggunaan matawang digital bank pusat (CBDC); pilihan reka bentuk ekonomi, fungsi dan teknikal, termasuk kebolehoperasian rentas sempadan dan perkongsian pengetahuan mengenai teknologi baru muncul.

Mereka juga akan bekerjasama dengan forum dan kumpulan global yang lain, seperti Lembaga Kestabilan Kewangan dan jawatankuasa pembayaran dan prasarana pasaran (CPMI), yang juga dipengerusikan oleh Cunliffe.

Topik mengenai matawang digital bank pusat telah mendapat perhatian di kalangan instritusi utama sejak Facebook mengumumkan rancangannya tahun lalu untuk memperkenalkan matawang kripto iaitu libra yang akan terikat dengan sekumpulan matawang dan hutang kerajaan untuk memegang nilai yang stabil.

Bagaimanapun, projek ini berdepan dengan pengawalseliaan yang tinggi daripada beberapa bank pusat termasuk BoE dan Federal Reserve A.S yang memberi amaran mengenai kemungkinan risiko matawang itu terhadap kestabilan kewangan global.

Berbeza dengan bank-bank pusat utama, China telah mula bertindak untuk mencipta matawang digitalnya sendiri, meskipun setakat ini masih tiada butiran jelas mengenai projek ini dikeluarkan.