Pada mesyuarat penetapan dasar monetari Januari, Bank of Japan (BOJ) seperti dijangkakan oleh pasaran, kekal dengan kadar faedah -0.10% manakala sasaran hasil bon kerajaan Jepun (JGB) selama 10 tahun pula tidak berubah pada 0.00%.

Panduan ke atas kadar faedah juga dikekalkan dengan pada tahap semasa yang lebih rendah atau mengurangkannya, selagi diperlukan untuk mengawal risiko kehilangan momentum dalam mencapai sasaran kestabilan harga.

Selain itu, dalam laporan tinjauan suku tahun unjurannya, BOJ meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonominya bagi tahun fiskal bermula bulan April kepada 0.9%, daripada anggaran awal sebanyak 0.7% yang dibuat pada Oktober lalu.

Antara faktor mendorong kenaikan ini adalah kesan daripada pakej rangsangan oleh kerajaan bernilai $120 bilion yang diperkenalkan pada bulan lepas.

Perjanjian perdagangan yang ditandatangani oleh Amerika Syarikat dan China pada minggu lalu juga telah menyingkirkan salah satu risiko utama untuk prospek pertumbuhan ekonomi.

Sementara ekonomi Jepun dijangka menguncup dengan ketara pada tiga bulan terakhir 2009 dipengaruhi oleh kesan bencana alam yang melanda negara itu dan kenaikan cukai jualan, risiko penurunan bagi tahun ini pula dilihat berkurangan.

Walaupun kemerosotan dalam permintaan global berkemungkinan akan lebih rendah, tetapi pakej rangsangan fiskal yang diperkenalkan oleh kerajaan dijangka bakal menyokong pertumbuhan ekonomi negara itu.

Rangsangan fiskal dilihat cukup untuk membantu pemulihan dalam pertumbuhan pada tahun ini dan menolak keperluan tindakan tambahan oleh bank pusat.

Di samping itu, bank pusat juga menurunkan unjuran indeks inflasi harga pengguna teras kepada 1% daripada 1.1%.

Kini menjadi tumpuan pasaran adalah ucapan susulan Gabenor BOJ Haruhiko Kuroda pada petang ini untuk mendapatkan petunjuk selanjutnya.