Berikut merupakan sebahagian data-data penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.

Mesyuarat Dasar Monetari BOJ (Selasa Sesi Asia): Bank pusat Jepun (BOJ) telah mengekalkan kadar faedah yang rendah di paras -0.10% untuk beberapa tahun begitu juga skim pembelian bon. Pasaran terus menjangkakan dasar monetari yang longgar dikekalkan oleh BOJ.

Laporan Data Pekerjaan UK (Selasa 5.30 Petang): Disebabkan kebimbangan yang semakin meningkat menjelang mesyuarat dasar bank pusat England pada penghujung Januari, bacaan laporan data pekerjaan akan memberi petunjuk penting. Kadar pengangguran masih kekal berada di paras rekod terendah.

Sentimen Ekonomi ZEW Jerman (Selasa 6.00 Petang): Selepas bacaan data yang negatif untuk tempoh yang agak panjang, tinjauan ZEW pada Disember mencatatkan bacaan yang positif buat pertama kali. Tinjauan terbaru turut dijangka lebih meningkat.

Data Inflasi Kanada (Rabu 9.30 Malam): Data indeks harga pengguna Kanada untuk bulan Disember 2019 dijangkan mencatatkan angka yang meningkat susulan data IVEY PMI Kanada yang baik.

Mesyuarat Dasar Monetari BOC (Rabu 11.00 Malam): Bank pusat Kanada (BOC) telah mengekalkan kadar faedah 1.75% sepanjang 2019 dan dijangka tidak akan berganjak dari paras tersebut untuk permulaan tahun 2020. Pasaran buruh serta inflasi masih di paras yang baik dan Gabenor Stephen Poloz yang bakal berundur pada Jun nanti, dilihat akan terus mengekalkan dasar monetari semasa.

Laporan Data Pekerjaan Australia (Khamis 8.30 Pagi): Kadar pekerjaan di Australia melonjak pada November 2019 menambah sekitar 39,900 pekerjaan selepas merosot pada Oktober. Kadar pengangguran juga turut menurun dari 5.3% kepada 5.2%. Laporan Disember yang memuaskan akan menyokong keputusan dasar bank pusat Australia daripada menurunkan kadar lebih rendah.

Mesyuarat Dasar Monetari ECB (Khamis 8.45 Malam): Bank Pusat Eropah (ECB) telah mengekalkan kadar faedah di paras sifar hampir 4 tahun. Dalam mesyuarat pertama Christine Lagarde sebagai Presiden yang baru menggantikan Mario Draghi, beliau berjanji untuk mengumumkan kajian strategi bank pusat yang terbaru. Polisi dijangka akan dikekalkan namun pasaran akan mengambil kira nada ucapan oleh Lagarde.

Data Inflasi New Zealand (Jumaat 5.45 Pagi): Setelah mencatatkan bacaan yang meningkat untuk suku ketiga, indeks harga pengguna New Zealand untuk suku keempat dijangka kembali mencatatkan bacaan yang menurun. Ini adalah didorong faktor penurunan pada harga makanan.

Data PMI Pembuatan dan Perkhidmatan Zon Eropah (Jumaat 5.00 Petang): Sesi Eropah pada Jumaat akan menyaksikan paparan data PMI pembuatan dan perkhidmatan bermula Perancis diikuti Jerman sebelum data bagi zon Eropah. Sektor pembuatan masih berada di bawah paras 50.0 yang menunjukkan penguncupan berterusan khususnya terkesan oleh ekonomi di Jerman yang merosot.

Data PMI Pembuatan dan Perkhidmatan UK (Jumaat 5.30 Petang): Sama seperti di zon Eropah, Britain juga mengalami kemerosotan pada sektor pembuatan. Sektor perkhidmatan pula capai paras stabil 50.0 pada Disember 2019 menunjukkan tanda-tanda pemulihan pada sektor terbesar di UK itu.