Pasaran awal minggu turut terarah kepada pasaran minyak mentah selepas harga minyak melonjak ekoran peningkatan ketegangan di Timur Tengah dan Afrika Utara sehingga menyebabkan pengeluaran dan eksport minyak mentah dari pengeluar utama OPEC iaitu Iraq dan Libya dihentikan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 73 sen kepada $65.58 setong manakala WTI Amerika Syarikat meningkat sebanyak 58 sen kepada $59.16 setong.

Mengikuti perkembangan terkini di Timur Tengah, Iraq telah menghentikan pengeluaran di sebuah medan minyak pada Ahad dan bekalan dari laman kedua berikutan risiko pergolakan yang berlaku di negara itu, buat sementara waktu.

Sementara di Afrika Utara pula, Perbadanan Minyak Kebangsaan (NOC) melaporkan dua medan minyak terbesar di Libya ditutup selepas Tentera Kebangsaan Libya (LNA) menutup saluran paip, memaksa NOC untuk mengehadkan pengeluaran minyak.

Selain itu, komander Khalifa Haftar juga dilapor telah menyekat eksport minyak di pelabuhan bawah kendaliannya yang dijangka akan mengurangkan sebanyak 800,000 tong sehari.

Tindakan ini diambil menjelang sidang kemuncak yang diadakan di Berlin, Jerman pada Ahad.

Pada sidang kemuncak Berlin, pemimpin-pemimpin dunia dikatakan komited untuk menamatkan semua campur tangan asing dalam perang Libya dan meningkatkan sekatan senjata, sebagai sebahagian daripada rancangan mereka untuk mengakhiri konflik yang berlanjutan.

Jika eksport terus dihentikan, pengeluaran minyak mentah dijangka akan berkurang kepada 72,000 tong sehari, menurut NOC.

Libya telah mengeluarkan kira-kira 1.2 juta tong sehari minyak mentah dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan semua medan minyak utama terletak di kawasan yang dikuasai oleh Haftar.