Dolar Amerika mengukuh pada dagangan awal minggu di sesi Asia susulan data yang diterbitkan menunjukkan peningkatan mengejutkan dalam pasaran pekerjaan Amerika Syarikat, tetapi pergerakan dolar USD agak terbatas berikutan masih dibelenggu kebimbangan mengenai ketidakpastian dagangan.

Laporan pekerjaan NFP AS menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan pada bulan November dengan penambahan sebanyak 266, 000 pengambilan pekerjaan daripada yang disasarkan untuk meningkat sebanyak 187, 000 dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.5% daripada 3.6%.

Peningkatan dalam pembacaan tersebut merupakan penambahan terbesar dalam tempoh 10 bulan yang terutamanya didorong oleh kenaikan pengambilan pekerjaan dalam industri kesihatan dan bekas pekerja kembali bekerja di GM General Motors.

Dengan pembacaan yang memberangsangkan ini, ia menguatkan lagi jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan mengekalkan kadar faedahnya dalam mesyuarat polisi pada minggu depan.

Sementara itu dalam perkembangan perdagangan, Penasihat Ekonomi White House larry Kudlow memberitahu bahawa tarikh pelaksanaan tarif ke atas barangan import China akan tetap diteruskan pada 15 Disember ini, tetapi Presiden AS Donald Trump dikatakan menyukai bagaimana rundingan dagangnya dengan China sedang berjalan.

Dagangan USD berbanding safe-haven yen menyusut berikutan data pertumbuhan GDP Jepun pada suku ketiga menunjukkan peningkatan yang lebih cepat, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh meskipun eksport di negara itu terkesan oleh kelembapan pertumbuhan global dan peningkatan ketegangan perdagangan.

Dolar Kanada didagangkan menyusut berbanding USD susulan penurunan dalam pasaran pekerjaaan Kanada dengan turun sebanyak 71, 200 jauh tersasar daripada jangkaan untuk meningkat sebanyak 10, 000 manakala kadar pengangguran naik kepada 5.9% daripada yang disasarkan untuk kekal pada 5.5%.

Matawang pound diniagakan tinggi berbanding USD dengan keyakinan parti PM UK Boris Johnson akan memenangi pilihan raya UK yang akan berlangsung pada Khamis ini. Tinjauan terbaru menunjukkan Parti Konservatif masih mendahului dengan 10 mata daripada Parti Buruh.