Dagangan sesi Asia hari ini memperlihatkan beberapa data ekonomi diterbitkan di Australia dan pengumuman oleh Gabenor Reserve Bank of New Zealand (RBNZ), Stephen Poloz menjadi penggerak utama kepada matawang dolar Aussie dan kiwi.

Matawang dolar Australia melemah selepas data jualan runcit dan imbangan dagangan dikeluarkan oleh Biro Statistik Australia adalah lebih lemah daripada yang dijangkakan.

Data jualan runcit yang menjadi pengukur utama kepada pertumbuhan perbelanjaan pengguna, dicatatkan tidak berubah pada bulan Oktober 2019 daripada peningkatan 0.2% yang dialami pada bulan September, tersasar daripada jangkaan untuk meningkat sebanyak 0.3%.

Sektor ini telah mengalami tekanan berikutan pengguna sedang bergelut dengan ketidakstabilan upah dan menanggung hutang yang tinggi. Hasilnya jelas kelihatan apabila Reserve Bank of Australia (RBA) mengurangkan kadar faedahnya sehingga tiga kali dalam tahun ini sehingga mencecah kepada paras terendah 0.75.

Selain itu, lebihan dagangan Australia menunjukkan penurunan ketara sebanyak AUD 4.5 bilion pada bulan Oktober daripada AUD 6.85 bilion pada September, jauh tersasar daripada unjuran sebanyak AUD 6.1 bilion.

Ini merupakan pembacaan paling rendah yang pernah dicatatkan sejak Disember tahun lepas, disebabkan oleh kemerosotan bulanan sebanyak 5% kepada AUD 40.75 bilion dalam eksport manakala import mencatatkan peningkatan AUD 36.25 bilion.

Sementara itu, bank pusat New Zealand pada hari ini mengumumkan untuk meningkatkan jumlah modal kepada 18% daripada paras minimum terkini 10.5% bagi empat bank besar di negara itu, manakala bank-bank yang lebih kecil perlu meningkatkannya kepada 16% dengan purata modal yang dipegang oleh bank adalah 14.1% berkuatkuasa dari Julai 2020.

Susulan daripada itu, kiwi meningkat menghampiri paras tertinggi sejak Ogos berbanding dolar USD sebelum kembali diniagakan menyusut berikutan dipengaruhi oleh penyusutan dolar Australia.