Pepatah Melayu ada menyebutkan ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya.’ Justeru itu, para ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan ilmu kewangan sejak kecil lagi. Sumber kewangan adalah sangat penting dalam menjamin kelangsungan hidup mereka.

Akan tetapi, masih ramai yang dimomokkan dengan kenyataan seperti ‘kanak-kanak tidak boleh memegang wang yang banyak.’ Hakikatnya, golongan ibu bapa di barat telah lama menerapkan ilmu pelaburan ke dalam diri anak-anak mereka. Tepuk dada, tanya selera!

Jadi, bagaimana untuk didik anak-anak melabur?

1. Berjimat-cermat Adalah Berbeza Dengan Pelaburan

Kanak-kanak sering dididik untuk menabung, dalam usaha untuk menerapkan nilai berjimat-cermat dalam diri mereka. Ianya merupakan salah satu inisiatif yang efektif dalam pengurusan kewangan. Selain itu, mereka juga perlulah didedahkan dengan ilmu pelaburan.

Hal ini kerana pelaburan merupakan salah satu langkah untuk membantu mengembangkan wang simpanan mereka hasil daripada keuntungan yang diperolehi. Mereka juga perlu diberi pendedahan tentang risiko dan ganjaran yang terdapat dalam pelaburan.

2. Beri Penerangan Ringkas

Terangkan kepada anak-anak anda tentang ilmu asas pelaburan iaitu menggunakan wang sedia ada untuk menggandakan lebih banyak wang. Seperti contoh, pembelian saham adalah hanya dengan membeli sekeping kertas kecil daripada syarikat dan perlu memantau prestasi syarikat tersebut dari semasa ke semasa.

Gunakan bahasa yang ringkas dan boleh difahami oleh mereka.

3. Didik Melalui Penceritaan


Kanak-kanak lebih mudah menerima dan memahami kisah-kisah menarik yang ditonton daripada filem atau bahan bacaan ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, ibu bapa boleh bercerita kepada mereka tentang pengalaman sendiri dalam dunia pelaburan.

Dedahkan kepada anak-anak anda tentang pelbagai manfaat yang bakal diperolehi daripada pelaburan.

4. Tahu Gaya Pembelajaran Anak-anak

Rambut sama hitam, hati lain-lain. Oleh itu, ibu bapa perlu benar-benar mengenalpasti cara efektif penerimaan oleh anak-anak mereka. Ada segelintir yang sukakan grafik, manakala yang lainnya gemarkan audio atau sebagainya.

Jadi, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk menyesuaikan cara pengajaran mereka mengikut gaya yang boleh menarik perhatian anak-anak. Contohnya, melalui gambar, video, aplikasi telefon pintar dan penceritaan.

5. Permainan Pasaran

Anak-anak anda perlu didedahkan dengan pasaran. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu mencari alternatif menarik untuk diaplikasikan bersama anak-anak, contohnya melalui permainan.

Luangkan masa bersama mereka dengan bermain permainan berkaitan kewangan seperti Saidina atau Monopoly. Kedua-dua permainan tersebut sangat dekat dengan kita. Justeru itu, ibu bapa mestilah menggunakannya dengan sebaik mungkin sambil menerangkan kepada anak-anak tentang kepentingan pengurusan kewangan khususnya pelaburan.

Kesimpulannya, masih belum terlambat untuk kita terapkan ilmu pelaburan dalam diri anak masing-masing kerana ianya tak mengenal usia. Sesiapa sahaja boleh menceburkan diri dalam bidang tersebut, yang perlu dititikberatkan ialah ilmu. Jom mulakan sekarang!