Sesi pasaran Eropah hari ini semestinya akan memberi lebih tumpuan terhadap dagangan Pound Sterling berikutan pelabur sedang menunggu keputusan mesyuarat polisi monetari oleh Bank of England (BOE) dijangka pada jam 7 petang waktu Malaysia.

Menjelang keputusan mesyuarat beberapa jam lagi, tumpuan terarah sebentar kepada data jualan runcit di United Kingdom (UK) yang mencatatkan penurunan -0.2% untuk bulan Ogos, menepati jangkaan penurunan oleh pasaran.

Jika diteliti, bacaan data agak bercampur namun laporan data tidak begitu merosot berikuta aktiviti perbelanjaan masih dalam keadaan sederhana pada awal suku ketiga dan perkara tersebut berpotensi untuk menyokong semula ekonomi selepas ini.

Menurut sumber kerajaan UK, Setiausaha Brexit Stephen Barclay akan berkunjung ke Brussels untuk mengadakan pertemuan bersama Suruhanjaya Eropah pada Jumaat. Setakat itu, tiada maklumat lanjut berhubung perkara tersebut.


Beberapa penganalisis pasaran termasuk dari bank-bank utama, menjangkakan BOE tidak akan memberikan sebarang kejutan pada keputusan mesyuarat kali ini dan berkemungkinan unjuran polisi masih terus dikekalka sehingga November.

Keputusan polisi kadar faedah UK dilihat masih terikat pada hasil rundingan Brexit di samping kebimbangan terhadap risiko kegawatan ekonomi UK terus mempengaruhi bacaan data yang lemah kebelakangan ini.

Oleh itu, pelabur berkemungkinan tidak menjangkakan pergerakan yang besar pada dagangan Pound susulan keputusan mesyuarat diumumkan sebentar lagi. Namun, kenyataan susulan oleh bank pusat mampu memberi impak lebih besar dengan pelabur akan mentafsir isyarat polisi monetari untuk masa yang akan datang.