Sentimen pasaran masih lagi kekal berisiko dengan isu serangan ke atas fasiliti pengeluaran minyak terbesar di Arab Saudi yang membimbangkan para pelabur ekoran ketegangan konflik Timur Tengah yang semakin meningkat.

Serangan tersebut dilaporkan telah mengurangkan lebih 5 juta tong sehari bekalan minyak mentah dari pasaran, atau lebih separuh daripada pengeluaran minyak Arab Saudi. Angka tersebut juga mencatatkan kemerosotan terbesar terhadap pengeluaran yang pernah direkodkan.

Ketegangan semakin meningkat apabila Amerika Syarikat menuduh serangan tersebut adalah dilakukan oleh Iran, namun dinafikan Tehran.

Insiden yang berlaku pada hujung minggu itu juga telah mengakibatkan lonjakan ketara terhadap harga minyak mentah dengan perbezaan jarak pembukaan harga yang besar pada awal sesi pasaran Asia semalam.

Dagangan safe-haven mula menjadi tarikan para pelabur dalam sentimen pasaran yang berisiko dan ini memberi kelebihan terhadap matawang Yen Jepun dan juga Swiss franc.


Sementara itu, perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China terus dipantau dengan pelabur masih meletakkan harapan terhadap kesepakatan perjanjian di antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Matawang Pound Sterling pula bergerak lemah pada permulaan dagangan minggu ini berikutan perkembangan pasif pada isu Brexit. Perdana Menteri UK Boris Johnson dilihat masih buntu mencari jalan penyelesaian dalam rundingan dan mengulangi bahawa Kesatuan Eropah tidak akan memberikan sebarang penangguhan lagi dan perjanjian pengunduran yang ditandatangani oleh Perdana Menteri terdahulu adalah solusi yang menjadi garis panduan.

Sesi pasaran Asia pagi ini akan memberi tumpuan pada minit mesyuarat polisi monetari oleh bank pusat Australia untuk mesyuarat yang terbaru. Maklumat yang terkandung dalam minit mesyuarat akan diperhalusi oleh pasaran untuk melihat sebarang perubahan terhadap kenyataan sebelum ini.

Untuk sementara itu, pergerakan pasaran dijangka akan lebih perlahan ekoran pelabur akan mengambil langkah lebih berwaspada menantikan keputusan mesyuarat polisi oleh empat bank pusat utama pada Khamis.