Setelah lama menunggu, pelabur akhirnya mendapatkan jawapan bagi keputusan mesyuarat polisi monetari bank pusat Eropah dan menyaksikan pergerakan drastik dolar Euro dalam pasaran pada sesi New York semalam.

European Central Bank (ECB) telah mengekalkan kadar faedah sedia ada di paras sifar namun telah mengumumkan penurunan 10 mata asas bagi kadar deposit kepada -0.50%.

ECB juga turut mengumumkan program pembelian semula aset dengan nilai bulanan berjumlah 20 billion Euro bermula awal November ini, berterusan dan akan ditamatkan sebelum kadar faedah ECB dinaikkan.

Susulan pengumuman keputusan tersebut, dolar Euro telah menjunam melebihi 100 pips berbanding dolar USD ke paras support sekitar 1.09300. Namun, harga kembali melonjak semula 160 pips mencecah paras resistance minggu lalu sekitar 1.10850 menjadikan pergerakan harga bagi Euro mencapai 300 pips dalam satu sesi.

Lonjakan harga dipercayai didorong oleh faktor bantahan oleh beberapa individu penting terhadap tindakan pelonggaran kuantitif (QE) yang diumumkan oleh ECB.

Dilaporkan bahawa Presiden ECB Mario Draghi berdepan tentangan oleh Presiden Bundesbank, Widemann, Presiden Banque de Franc Francois Villeroy de Galhau dan ahli Majlis Kerajaan Benoit Coeure semasa beliau memperkenalkan idea program pembelian bon semula.


Sumber melaporkan kepada Reuters bahawa tindakan pelonggaran QE itu lulus dengan majoriti yang sangat rendah.

Presiden Draghi juga memberikan isyarat terhadap had polisi monetari dan menyeru kerajaan untuk mengembangkan lagi bajet perbelanjaan.

Sementara dagangan matawang utama yang lain masih bergerak perlahan menghampiri penutup dagangan minggu ini.

Dolar Amerika Syarikat masih lagi bergerak perlahan dengan tumpuan masih terarah pada perkembangan rundingan dagang antara Amerika dan China.

Setakat ini, perkembangan rundingan masih lagi dilihat baik dengan laporan bahawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang bersetuju untuk menangguhkan kenaikan tarif terhadap barangan import China pada awal Oktober dilanjutkan kepada dua minggu.