Dagangan sesi Rabu diteruskan dengan sentimen pasaran yang agak bercampur-campur. Sentimen semasa kembali menyokong dagangan dolar Amerika Syarikat (AS) didorong oleh data ekonomi dan juga perkembangan semasa pada rundingan dagang Amerika Syarikat bersama China.

Data inflasi AS untuk Julai yang dikeluarkan pada sesi New York semalam mencatatkan kenaikan 0.3% menepati jangkaan pasaran daripada 0.1% pada bacaan Jun. Bacaan inflasi teras pula kekal di paras 0.3% mengatasi jangkaan penurunan kepada 0.2% oleh pasaran.

Susulan data dikeluarkan, dagangan USD menunjukkan lonjakan harga berbanding pasangan matawang utama yang lain.

Seterusnya, momentum pengukuhan USD disokong pula oleh laporan pengumuman penangguhan tarif ke atas sebahagian produk yang disenaraikan pengecualian. Pengumuman tarif ke atas jenis-jenis produk yang tersenarai ditangguhkan sehingga 15 Disember itu dilaporkan susulan perbualan telefon di antara Timbalan Presiden China, Liu He bersama wakil perdagangan Amerika Syarikat.

Kesan daripada perubahan sentimen tersebut turut melonjakkan dagangan dolar Australia di samping melemahkan kembali dagangan safe-haven Yen. Terlihat pergerakan ketara pada carta harga melibatkan matawang-matawang yang sensitif terhadap sentimen semasa pasaran ini.

Walau bagaimanapun, penganalisis pasaran kekal berpendapat pemulihan pada sentimen pasaran hanya bersifat sementara. Ini adalah kerana pelabur dan pemain pasaran perlu melihat faktor-faktor lain seperti risiko geopolitik dan ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan politik yang berlegar dalam pasaran.

Selain isu Brexit yang berlarutan, ketegangan di Timur Tengah, situasi genting Iran dan ketidaktentuan pada pasaran minyak mentah global perlu dipantau. Di samping itu juga, rusuhan yang berlaku di Hong Kong dan juga risiko kegawatan ekonomi di Argentina turut menambahkan lagi kegelisahan dalam pasaran.

Pemain pasaran yang pesimis berkemungkinan melihat situasi ini sebagai peluang untuk posisi dagangan Aussie atau Yen pada harga ‘diskaun’ dengan beranggapan sentimen pasaran akan kembali kekal berisiko.