Sesi pasaran Asia pada Rabu memberi tumpuan terhadap data ekonomi di Australia melibatkan data tinjauan keyakinan penggunan dan indeks pertumbuhan gaji serta data-data ekonomi penting di China.

Bacaan bagi sentimen keyakinan penggunan tinjauan Westpac di Australia mencatatkan bacaan yang positif dengan angka bacaan meningkat kepada 3.6% untuk keluaran Ogos berbanding penurunan -4.1% pada bacaan bulan sebelumnya.

Seterusnya, bacaan indeks harga pendapatan untuk suku tahun kedua di Australia mencatatkan peningkatan kepada 0.6% mengatasi jangkaan kekal di paras 0.5% pada bacaan suku sebelumnya.

Namun begitu, data-data dengan bacaan positif tersebut gagal meneruskan momentum kenaikan harga bagi dagangan dolar Australia yang telah mempamerkan lonjakan harga semalam ekoran pengumuman penangguhan tarif Trump yang meredakan sedikit ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Pelabur juga melihat peningkatan pada pertumbuhan gaji masih belum cukup untuk mempengaruhi keputusan penetapan kadar faedah oleh bank pusat Australia pada mesyuarat polisi yang akan datang.

Kemudiannya, pasaran disajikan pula dengan data-data penting bagi ekonomi China dengan keseluruhan bacaan dilihat tidak memberangsangkan.

Data pengeluaran perindustrian unjuran tahun ke tahun mencatatkan penurunan kepada angka 4.8% bagi bulan Julai jauh meleset berbanding jangkaan penurunan kepada 6.0% daripada bacaan 6.3% pada bulan Jun.

Lebih membimbangkan lagi apabila catatan pertumbuhan pengeluaran China pada kali ini adalah yang paling perlahan sejak Februari 2002.

Sementara, kadar jualan runcit di China juga turut merosot dengan catatan angka 7.6%, menurun daripada bacaan 9.8% pada bulan Jun dan juga lebih rendah berbanding jangkaan penurunan kepada 8.6%.

Kemerosotan pada bacaan data ditambah pula dengan cetakan pada angka kadar pengangguran di China pada bulan Jun yang meningkat kepada 5.3% daripada 5.1% bulan sebelumnya.

Data ekonomi China turut mempengaruhi nilai dagangan bagi Aussie dan dengan bacaan yang lemah ini dijangka akan memberi bebanan terhadap matawang Australia itu untuk mengekalkan momentum pengukuhan dalam sentimen pasaran yang dilihat kembali pulih.