Pada dagangan Rabu, nilai emas kekal stabil di sekitar paras $1,500 dan pergerakan harga dipengaruhi oleh ketidaktentuan politik yang melanda seperti rusuhan yang berlarutan di Hong Kong yang membimbangkan pertumbuhan global serta sedikit keredaan pada ketegangan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China.

Nilai emas yang melonjak ke paras ketinggian terbaru semalam sekitar $1,534.00, tertinggi sejak April 2013 itu kembali mencatatkan penurunan ketara pada dagangan semalaman setelah pentadbiran Trump dilaporkan akan menangguhkan pengenaan tarif terhadap sebahagian barangan import China sehingga 15 Disember.

Namun, ketegangan perdagangan antara dua ekonomi gergasi dunia itu dilihat masih belum selesai. Ditambah pula dengan kekacauan yang melanda Hong Kong serta pertumbuhan global yang merosot dijangka akan menekankan lagi dagangan dolar AS selepas ini dengan jangkaan Federal Reseve berkemungkinan akan menurunkan lagi kadar faedah sekurang-kurangnya sekali lagi pada tahun ini.

Faktor-faktor tersebut bakal menyokong nilai emas dalam pasaran berikutan risiko yang kekal membimbangkan pelabur akan membuatkan pelaburan ke arah aset safe-haven termasuk emas akan menjadi tarikan.

Sementara itu, harga minyak mentah pula mengalami kejatuhan pada Rabu selepas data industri menunjukkan inventori minyak Amerika Syarikat meningkat lebih tinggi berbanding jangkaan pada minggu lalu.

Pelabur masih memantau tindakan oleh Arab Saudi yang kekal dengan pendirian untuk mengurangkan bekalan bagi mengawal harga minyak mentah dalam pasaran.

Arab Saudi yang merupakan pengeluar terbesar dalam gabungan OPEC menyatakan pada minggu lalu bahawa mereka akan mengekalkan eksport minyak mentah di bawah paras 7 juta tong sehari pada Ogos dan September untuk membantu pengawalan bekalan minyak global.

OPEC dan rakan sekutunya yang dikenali OPEC+ bersetuju untuk mengurangkan 1.2 juta tong sehari pengeluaran dari permulaan tahun ini.