Dalam kegelisahan pelabur berdepan risiko dalam pasaran ekoran pengumuman terbaru Donald Trump untuk mengenakan tarif terbaru terhadap China, tumpuan akan turut terarah pada laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat yang akan diterbitkan pada jam 8.30 malam waktu Malaysia.

Dengan risiko yang kembali meningkat dalam pasaran, bacaan laporan untuk Julai yang lemah akan lebih memberi impak terhadap dagangan dolar Amerika Syarikat berbanding bacaan yang baik.

Bacaan laporan pada bulan sebelum ini mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi berbanding jangkaan iaitu kenaikan sebanyak 224,000 pekerjaan berbanding ramalan 160,000. Lonjakan tersebut didorong oleh catatan yang rendah pada bacaan bulan sebelumnya.

Kadar pertambahan untuk bulan Julai dijangka perlahan dan jika angka bacaan yang dikeluarkan adalah menepati ramalan, dagangan dolar AS akan terus menyusut.

Perlu diperhatikan juga komponen penting dalam laporan iaitu purata pendapatan dan juga kadar pengangguran di Amerika Syarikat.

Purata pendapatan perjam dijangka kekal di paras bacaan 0.2% manakala kadar pengangguran diramal akan menurun kepada 3.6% berbanding 3.7% pada bulan Jun.

Antara faktor yang menyokong bacaan laporan yang kukuh adalah kenaikan pada laporan pekerjaan ADP NFP yang dikeluarkan pada Rabu. Kadar pertambahan pekerjaan bagi sektor swasta di Amerika Syarikat meningkat kepada 156,000 pekerjaan pada Julai berbanding 112,000 pada bulan sebelumnya.

Selain itu, indeks keyakinan pengguna meningkat ke paras tertinggi 8 bulan di samping indeks sentimen pengguna tinjauan Universiti Michigan turut mencatatkan sedikit peningkatan.

Namun, turut terdapat faktor yang akan menjadi pendorong bacaan laporan NFP yang lemah. Antara faktor adalah komponen pekerjaan pada data tinjauan ISM yang menurun.

Selain itu, kadar tuntutan berterusan mencatatkan sedikit kenaikan. Pelabur juga turut beranggapan kebarangkalian untuk kadar pertambahan pekerjaan menurun selepas lonjakan tinggi pada catatan bulan sebelum ini.

Minggu yang mencabar buat pedagang matawang USD pada minggu ini berdepan data-data berimpak tinggi. Kawal risiko dagangan dalam pasaran kewangan menjelang laporan data pekerjaan NFP pada malam ini.