Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sekali lagi menggemparkan pasaran dengan memberi isyarat yang negatif terhadap perkembangan rundingan dagang yang terbaru.

Menerusi akaun rasmi media sosial Twitter beliau, Trump telah menyatakan bahawa Amerika Syarikat akan mengenakan tambahan tarif terbaru sekitar 10% hingga 25% untuk barangan import dari China yang bernilai $300 bilion dolar.

Tarif bakal dikenakan pada 1 September ekoran rasa ketidakpuasan hati Trump dengan mengatakan bahawa China gagal menepati janji untuk membeli produk pertanian Amerika Syarikat dengan kuantiti yang tinggi.

Ini menjadi faktor yang mendorong sentimen pasaran kembali berisiko yang menyaksikan dagangan safe-haven Yen melonjak tinggi mencatatkan pengukuhan sejak sesi semalam bersambung sehingga sesi pasaran Asia pada pagi ini.

Diperhatikan dagangan pada carta pasangan matawang USD/JPY, harga yang mencecah paras tertinggi sejak penghujung Mei pada dagangan semalam kemudiannya telah menjunam hampir 250 pips menuju ke paras support pada dagangan Jun pada sesi Asia hari ini.

Turut dipengaruhi kekecewaan ekoran keputusan Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat FOMC yang tidak memuaskan hati beliau, Trump mengumumkan bahawa sehingga kesepakatan dapat dicapai, tambahan tarif bakal dikenakan ke atas China.

Dagangan dolar Amerika merudum susulan pengumuman daripada Trump tersebut. Tumpuan bakal terarah pula kepada laporan data pekerjaan NFP di Amerika Syarikat yang dijangka turut akan memberi impak yang besar terhadap pasaran kewangan.

Sementara itu, keputusan mesyuarat polisi bank pusat England semalam menjadi tumpuan para pelabur sebelum Donald Trump mencuri tumpuan pasaran.

Bank of England (BOE) telah mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras 0.75% seperti yang telah dijangkakan dengan kesemua undian memilih untuk kadar dikekalkan.

Bank tidak memperincikan unjuran bagi senario situasi Britain berundur dari Kesatuan Eropah tanpa perjanjian. Kenyataan oleh bank pusat agak dovish dengan kemungkinan unjuran mencadangkan untuk kadar tidak perlu dinaikkan lebih daripada sekali dalam tempoh tiga tahun dalam usaha untuk melihat sasaran inflasi 2.0% tercapai.

Dengan masih bersandarkan pada kelancaran proses Brexit, bank pusat ingin melihat pemulihan pada pertumbuhan global untuk keputusan kenaikan kadar pada masa hadapan. Dalam tempoh itu, Sterling dijangka akan terus didagangkan dalam kelompok yang berisiko.