Setelah dinanti-nantikan oleh para pelabur dan pemain pasaran, keputusan mesyuarat FOMC diumumkan pada awal pagi tadi dengan melihatkan reaksi yang agak mengejutkan.

Akhirnya buat pertama kali dalam tempoh sedekad ini, Federal Reserve (Fed) membuat keputusan untuk menurunkan kadar faedah. Seperti yang telah dijangkakan, kadar diturunkan 25 mata asas daripada 2.50% kepada 2.25% bertujuan untuk kepentingan ekonomi semasa.

Dolar Amerika Syarikat (AS) melonjak ke paras tertinggi dua minggu berbanding Euro dan mencecah paras tertinggi dua bulan berbanding Yen pada awal Khamis selepas Pengerusi Fed, Jerome Powell memberi isyarat bahawa penurunan kadar bukanlah tindakan untuk permulaan kitaran pelonggaran polisi monetari.

Beliau memberitahu, penurunan tersebut adalah sebagai pelarasan polisi di pertengahan kitaran, bukanlah ke arah pelonggaran polisi yang lebih lanjut.

Kenyataan susulan itu memberi reaksi positif untuk dagangan USD selepas bank pusat menyampaikan keputusan penurunan kadar buat pertama kali sejak krisis kewangan.

Pelabur masih melihat satu lagi penurunan kadar akan berlaku pada tahun ini namun Powell walau bagaimanapun, melenyapkan jangkaan Fed akan menurunkan kadar sehingga tahun hadapan.

Keputusan tersebut telah menghadkan penurunan pada dagangan dolar yang telah menyerap jangkaan penurunan sebelum mesyuarat lagi. Penurunan kadar telah dibuat dan ekonomi di Amerika Syarikat dijangka akan kembali berkembang dan ini bakal memberikan kesan postif jangka panjang buat dolar USD.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump nyata kecewa terhadap keputusan Fed yang tidak melaksanakan penurunan kadar lebih besar seperti yang beliau harapkan. Trump telah berulang kali mengkritik keputusan bank pusat dan Powell kerana tidak membantu usaha pentadbiran beliau untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, Pound Sterling meneruskan kemerosotan dalam dagangan berbanding dolar AS selepas gagal meneruskan kenaikan lebih tinggi. Penurunan harga mencecah ke paras terendah dua tahun yang baru.

Tumpuan akan terarah pada keputusan mesyuarat bank pusat England pada petang ini dengan jangkaan yang dovish akan disampaikan oleh Bank of England (BOE).

Para penganalisis ekonomi hampir pasti ahli mesyuarat BOE akan mengundi secara majoriti untuk kadar faedah dikekalkakan di paras 0.75%. Namun, masih tidak jelas bagaimana Gabenor Mark Carney akan menangani cabaran prospek Britain yang akan meninggalkan Kesatuan Eropah tanpa perjanjian.