Dagangan dolar Australia dipengaruhi beberapa data penting yang diterbitkan pada sesi pasaran Asia hari ini. Bermula awal sesi, data indeks perkilangan tinjauan AIG mencatatkan bacaan yang kembali meningkat ke paras 51.3 mata untuk bulan Julai berbanding penguncupan kepada 49.4 pada bacaan bulan Jun buat pertama kali dalam tempoh hampir 3 tahun.

Pertumbuhan didorong oleh kenaikan 3.2 mata untuk pesanan baru dan kenaikan pada pertambahan pekerjaan. Selain itu, kadar eksport meningkat 1.5 mata berikutan permintaan luar negara yang kukuh untuk produk pembuatan Australia seperti makanan, minuman, produk farmasi, vitamin dan kosmetik dilaporkan.

Aussie seterusnya disokong pula oleh data ekonomi China yang menyusul pada jam 9.45 pagi. Data PMI perkilangan tinjauan Caixin di China mengeluarkan bacaan yang sedikit meningkat untuk Julai iaitu 49.9 mata berbanding jangkaan kenaikan 49.6 daripada bacaan 49.4 sebelum ini.

Kedua-dua kadar pengeluaran dan jualan luar negara tidak menunjukkan perubahan yang ketara manakala terdapat sedikit kenaikan pada pesanan baru. Pada masa yang sama, tahap pembelian turut meningkat.

Namun risiko dilihat kepada keadaan permintaan yang sedikit lemah dengan input untuk tempahan barangan dan produk pengeluaran yang menurun.

Kadar keyakinan meningkat ke paras tertinggi tiga bulan, namun kebimbangan dirasai menjelang keputusan rundingan dagang bersama Amerika Syarikat minggu ini yang terus mempengaruhi keseluruhan sentimen pasaran.

Berbanding dagangan safe-haven Yen, dolar Australia berjaya melonjak 50 pips dari paras terendah sejak minggu lalu pada carta harga pasangan matawang AUD/JPY.

Sementara itu, pasaran masih menantikan keputusan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China yang telah berakhir semalam setelah berlangsung selama 2 hari di Shanghai, China.

Sebarang keputusan yang positif daripada rundingan terbaru akan membantu menyokong kembali dagangan Aussie yang diniagakan merosot sepanjang 2 minggu kebelakangan ini.