Pound Sterling terus mencuri tumpuan pasaran pada minggu ini apabila terus mencatatkan penurunan lebih rendah untuk mencecah paras terendah sejak Januari 2017 berbanding dolar Amerika Syarikat apabila menambahkan lagi 100 pips penurunan ke paras sekitar 1.21200 semalam.

Faktor penurunan Pound didorong oleh peningkatan terhadap kebarangkalian Britain berdepan situasi Brexit tanpa perjanjian bersama Kesatuan Eropah (EU).

Tambahan, PM Boris Johnson berkata Britain tetap akan meninggalkan EU tanpa perjanjian pada 31 Oktober nanti jika tiada sebarang perubahan dibuat untuk perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini.

Sebelum menantikan keputusan polisi monetari oleh Federal Reserve, pasaran akan terlebih dahulu memberikan fokus kepada mesyuarat polisi monetari bank pusat England pada jam 7 petang ini.

Bank of England (BOE) dijangka akan mengekalkan kadar faedah di paras 0.75% tidak berubah sejak Ogos 2018 dan pasaran meramalkan kenyataan susulan bernada dovish bakal dikeluarkan oleh bank pusat.

Dagangan dolar Amerika Syarikat pula bakal bergerak perlahan pada hari ini sementara pasaran menunggu keputusan mesyuarat FOMC pada awal pagi nanti (Khamis).

Pasaran telah menyerap jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed untuk mesyuarat kali ini, seterusnya kenyataan oleh Gabenor bank pusat akan menjadi perhatian bagi pelabur mendapatkan petunjuk ke arah mesyuarat polisi yang berikutnya.

Pada Selasa, Bank of Japan (BOJ) telah mengumumkan kadar faedah masih dikekalkan di paras -0.10% untuk mesyuarat polisi Julai dan tiada perubahan dibuat pada dasar monetari.

Yen terus didagangkan stabil dengan tiada perubahan diumumkan oleh bank pusat dan mengulangi kenyataan untuk mengekalkan kadar faedah di paras rendah untuk tempoh jangka masa sekurang-kurangnya sehingga musim bunga tahun 2020.

Dagangan dolar Australia pada sesi Asia hari ini pula mula menunjukkan sedikit lonjakan setelah siri penurunan harga dikekalkan selama 2 minggu berturut-turut pada carta pasangan matawang AUD/USD.

Lonjakan pada Aussie adalah didorong oleh data indeks harga pengguna untuk suku tahun kedua telah mencatatkan bacaan lebih tinggi berbanding jangkaan pasaran iaitu di paras 0.6% berbanding 0.5%. Ini kembali menyokong kadar inflasi di Australia dan bakal mempengaruhi keputusan mesyuarat polisi bank pusat selepas ini.

Turut menyokong kenaikan pada dagangan Aussie adalah bacaan data PMI perkilangan China untuk Julai yang turut mencatatkan angka sedikit tinggi iaitu 49.7 mata berbanding jangkaan kenaikan 49.6 oleh pasaran daripada bacaan 49.4 yang terdahulu.