Pasaran minyak semakin stabil apabila harga minyak mentah diniagakan meningkat melepasi paras harga $58.00 dengan berjaya mengekalkan kenaikan harga selama 5 hari berturut-turut.

Sesi pasaran Asia hari ini melihatkan harga minyak mentah mencecah ke paras $58.46 didorong oleh faktor ketegangan yang berlaku di Timur Tengah.

Selat Hormuz yang berada di antara Teluk Parsi dan Teluk Oman menjadi laluan utama kapal-kapal tangki yang membawa muatan minyak berlayar melalui terusan tersebut. Di titik yang semakin meruncing, laluan kapal berada sepenuhnya pada kawasan perairan di antara Iran dan Oman.

Dianggarkan hampir satu perlima minyak dunia, iaitu sekitar 21 juta tong minyak sehari dibawa melalui Selat Hormuz tersebut pada tahun lalu yang menjadi laluan strategik perkapalan.

Namun, ketegangan mula timbul sejak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mula menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 bersama kuasa dunia selain mengenakan sekatan ke atas ekport minyak Iran.

Jika dihitung pada akhir-akhir ini, beberapa insiden yang menimbulkan konflik di Selat Hormuz telah menjejaskan bekalan minyak mentah dan mendorong kenaikan pada harga minyak dalam pasaran.

Antara insiden yang dilaporkan sebelum ini termasuk penahanan kapal tangki yang mengibarkan bendera British ke pelabuhan di Iran sebelum UK menghantar salah satu kapal perang ke Selat Hormuz susulan tindakan Iran tersebut.

Turut dilaporkan Amerika Syarikat menembak jatuh dron milik Iran yang menghampiri kapal perang Amerika Syarikat dengan tujuan tindakan pertahanan.

Sebelum itu, beberapa kapal tangki minyak telah diserang di Teluk Oman yang menjurus tuduhan Amerika Syarikat ke atas Iran berhubung kejadian tersebut namun dinafikan penglibatan oleh Tehran.

Kenaikan pada harga minyak turut menyokong dagangan dolar Kanada yang kembali mencatatkan pengukuhan sejak sesi sebelum ini.

Pemain pasaran khususnya pedagang komoditi perlu lebih berwaspada dan memantau perkembangan isu-isu global seperti ketegangan di Timur Tengah untuk mengawasi pergerakan harga dalam pasaran semasa.