Dagangan pada Khamis semalam menyaksikan kejatuhan dolar Euro ke paras terendah untuk tahun 2019 dan juga terendah dalam tempoh dua tahun berbanding dolar Amerika Syarikat susulan keputusan mesyuarat polisi monetari bank pusat Eropah dikeluarkan.

European Central Bank (ECB) telah mengekalkan kadar faedah di paras sifar 0.00% dan memberi petunjuk ke arah pelonggaran polisi pada September.

ECB mengulangi semula kesanggupan untuk mengubah dasar monetari dan akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan program pembelian asset yang baru.

Sementara dolar Amerika Syarikat mempamerkan pengukuhannya setelah data pesanan barangan tahan lama Amerika Syarikat mencatatkan kenaikan 2% untuk bulan Jun berbanding jangkaan penurunan kepada 0.2% oleh pasaran daripada bacaan 0.4% bulan sebelumnya.

Manakala, data defisit dagangan dilihat masih lemah apabila menguncup kepada -74.17 bilion untuk bulan Jun berbanding berbanding jangkaan -72.4 bilion. Sementara data tuntutan pengangguran di Amerika Syarikat pula mencatatkan penurunan terendah untuk tempoh 3 bulan.

Dagangan Pound Sterling pula tidak menunjukkan perubahan yang begitu ketara selepas Boris Johnson telah dilantika menjadi Perdana Menteri Britain yang terbaru. Selepas membentuk barisan kabinet dan penyokong Brexit beliau, beliau memberi jaminan untuk meneruskan pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah pada 31 Oktober ini, dengan atau tanpa perjanjian.

Sebelum pengumuman pelantikan jawatan Perdana Menteri itu, pasaran telahpun menyerap jangkaan kejayaan Boris sebagai pemimpin Parti Konservatif sejak awal Mei. Oleh itu, dapat dilihat beberapa pantulan harga pada dagangan GBP berkemungkinan faktor pengambilan keuntungan oleh pelabur pada posisi jualan GBP yang terdahulu.

Menurut penganalisis pasaran, sentimen bagi matawang Pound masih tidak menunjukkan perkembangan dalam erti kata lain masih kekal berisiko. Pasaran terus menantikan perkembangan terbaru pada fasa awal pentadbiran Boris.

Dagangan matawang komoditi termasuk dolar Australa, New Zealand dan Kanada menunjukkan penurunan sehingga penghujung minggu. Tekanan lebih dirasai dengan pengukuhan yang dipamerkan oleh matawang utama dolar USD disokong oleh pertumbuhan pasaran buruh yang kukuh.

Tumpuan pada hari ini akan terarah pada data harga import di Jerman pada jam 2 petang dan seterusnya bacaan awal pertumbuhan GDP di Amerika Syarikat dengan jangkaan angka bacaan yang sedikit menurun.