Dagangan dolar Australia terus merosot dalam pasaran apabila menerima tekanan oleh hasil pulangan bon 10-tahun kerajaan Australia yang merekodkan kejatuhan ke paras terendah yang baru.

Pergerakan harga pada carta pasangan matawang AUD/USD telah meneruskan penurunan ke paras lebih rendah di bawah 0.69500 merupakan paras terendah sejak 10 Julai lalu. Penurunan tersebut juga mencatatkan sekitar 140 pips kejatuhan dari paras ketinggian pada 0.70800 yang dicapai minggu lalu.

Hasil pulangan 10 tahun bon kerajaan Australia jatuh ke paras terendah pada 1.226% pada awal hari ini. Hasil pulangan untuk 2-tahun yang lebih sensitif terhadap jangkaan kadar jangka masa pendek turut mencatat rekod penurunan ke paras terendah terbaru pada 0.877% dalam dagangan semalaman.

Sebagai catatan, hasil pulangan 10-tahun tersebut telah menurun lebih 10 mata asas sejak 10 hari yang lalu dan hasil pulangan 2-tahun menurun kepada hampir 13 mata asas.

Ramalan ke hadapan, dolar Australia berkemungkinan berpotensi untuk turun ke paras lebih rendah jika dilihat pada hasil pulangan Australia yang terus merosot. Tekanan oleh pengukuhan dolar Amerika Syarikat juga menekan harga ke paras lebih rendah pada AUD/USD.

Sementara, rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China yang masih belum memberi petunjuk yang jelas terhadap perkembangan rundingan turut menjadi faktor tekanan buat Aussie.

Ditambah lagi dengan jangkaan polisi monetari yang longgar oleh Reserve Bank of Australia (RBA) bakal mengekalkan matawang Aussie dalam kelompok dagangan yang berisiko buat waktu ini.