Faktor fundamental yang menjadi antara tumpuan utama pasaran pada minggu ini adalah terhadap pengumuman polisi monetari oleh European Central Bank (ECB) dengan jangkaan pendirian yang dovish.

Menjelang pengumuman tersebut pada Khamis, dagangan Euro diniagakan lemah dalam pasaran dan merekodkan penurunan ke paras terendah dua bulan berbanding dolar Amerika Syarikat pada dagangan semalam.

Sedang pasaran berteka-teki prospek pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve pada minggu hadapan, ECB juga turut dijangka akan menurunkan kadar faedah atau sekurang-kurangnya mengumumkan polisi monetari yang longgar.

Unjuran ke hadapan dijangka bakal ada perubahan oleh bank pusat. ECB berkemungkinan akan mengumumkan polisi yang lebih longgar untuk Julai, namun menurut faktor-faktor mempengaruhi ekonomi yang diperincikan pada mesyuarat sebelum ini, bank pusat masih mempunyai ruang untuk menunggu sehingga unjuran ekonomi pada September dikemaskini.


Sentimen perniagaan menurun dan aktiviti perkilangan bergerak lemah namun kadar perbelanjaan pengguna meningkat. Pasaran buruh bertambah baik sementara kadar inflasi mencatatkan sedikit peningkatan.

Namun, secara keseluruhan unjuran masih dilihat lemah. Kadar inflasi yang rendah adalah satu masalah yang sangat serius untuk bank pusat dengan bacaan indeks harga pengguna berlegar di sekitar paras 1.3% pada zon Eropah.

Pertumbuhan GDP untuk suku tahun pertama pada kadar 0.4% juga masih berada di bawah paras unjuran manakala ancaman tarif terhadap Eropah lebih membebankan unjuran.

Ahli-ahli pengkaji ekonomi sedang memantau pemotongan kadar untuk September, namun berkemungkinan bank pusat akan bertindak lebih agresif dengan memilih langkah akomodatif termasuk pembelian asset dan juga potongan pada kadar deposit.