Pasaran saham Eropah pada Selasa dibuka tinggi sementara pelabur teruja menantikan keputusan jawatan Perdana Menteri Britain yang baru menggantikan Theresa May yang bakal diumumkan sekitar jam 5.45 petang waktu Malaysia.

Keputusan undian sepanjang minggu melibatkan sekitar 160,000 orang ahli Parti Konservatif bakal diumumkan sebentar lagi dan Perdana Menteri yang baru akan terus berada di pejabat pada Rabu.

Saham Eropah dibuka tinggi sementara dagangan Pound Sterling terus menjunam ekoran kebimbangan pasaran terhadap keupayaan bakal pemimpin Britain yang baru dalam mengendalikan isu Brexit dengan jangkaan Britain bakal berdepan situasi pengunduran yang sukar.

Parti pemerintah Britain akan mengumumkan jawatan Perdana Menteri yang baru sama ada bekas Datuk Bandar London, Boris Johnson atau Menteri Luar Britain, Jeremy Hunt untuk meneruskan tampuk kepimpinan yang ditinggalkan oleh Theresa May dalam suasana politik yang sedang bergelora.

Setelah berita peletakan jawatan Menteri Luar Britain oleh Alan Duncan semalam, dijangka beberapa lagi jawatan penting dalam kementerian yang bakal melepaskan jawatan jika Boris Johson sah diumumkan sebagai Perdana Menteri yang baru.

Bukan sahaja Menteri Kewangan Phillip Hammond yang mengumumkan akan meletak jawatan, malah Setiausaha Keadilan David Gauke malah Rory Stewart dari ahli pembuat dasar turut bertekad untuk meninggalkan jawatan masing-masing dan tidak mahu berkhidmat di bawah kepimpinan Boris Johnson.

Situasi peletakan jawatan oleh individu-individu penting tersebut dijangka akan berlaku ekoran jangkaan yang hampir pasti bahawa Boris Johson bakal memegang jawatan pemimpin Britain yang baru berdasarkan sokongan undian sebelum ini.

Menjelang sesi pasaran Eropah dan debaran keputusan yang dinantikan para pelabur, dagangan Pound terus merosot berada di tangga tercorot antara matawang utama yang lain. Pelabur dijangka akan lebih berhati-hati dengan kemungkinan pergerakan volatile harga pada carta pasangan matawang GBP hari ini.