Permulaan sesi pasaran Eropah pada Khamis memaparkan lonjakan pergerakan harga pada dagangan Pound Sterling berbanding matawang utama yang lain setelah Ketua Perunding Brexit Kesatuan Eropah (EU), Michel Barnier memberikan komen tentang isu sempadan Ireland.

Dalam ucapannya, Barnier berkata EU bersedia untuk bekerjasama mencari penyelesaian alternatif untuk sempadan Ireland yang merupakan salah satu isu utama menghalang perjanjian Brexit mencapai kesepakatan.

EU dilihat akan lebih terbuka untuk memberi ruang ke arah rundingan. Namun, secara realistiknya sukar untuk melihat sebarang penyelesaian alternatif untuk isu sempadan tersebut terutamanya dari segi teknologi, jika tidak pasti isu ini sudah diselesaikan ketika Theresa May masih memegang jawatan pemimpin sebelum ini.

Kenyataan Barnier memberikan satu faktor yang positif namun penyelesaian dilihat adalah sukar. Senario terbaik adalah jika penyelesaian dapat dicapai, ia akan memberikan kebaikan kepada semua pihak yang terlibat.

Dagangan Sterling memberi respon yang positif terhadap kenyataan Barnier, namun begitu pasaran tidak melihat sebarang perubahan pada risiko Brexit.

Turut dilaporkan bahawa Jawatankuasa Perbendaharaan UK ingin mendapatkan analisis ekonomi Brexit yang telah dikemaskini daripada bank pusat England.

Dengan tempoh yang semakin singkat sebelum tarikh akhir pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah pada penghujung Oktober nanti, keadaan semakin genting ditambah pula faktor penggantian jawatan pemimpin yang baru selepas Theresa May mengundurkan diri.