Permulaan dagangan pasaran minggu ini dipelopori oleh matawang komoditi di mana dolar New Zealand dan dolar Australia mengukuh ekoran bacaan data ekonomi China yang dikeluarkan pada sesi Asia semalam mencatatkan bacaan yang positif.

Namun data tumpuan iaitu kadar pertumbuhan GDP di China membimbangkan para pelabur apabila mencatatkan kenaikan kadar yang lebih rendah untuk suku tahun kedua 2019 dan merekodkan angka yang terendah bagi pertumbuhan dalam tempoh 27 tahun.

Dagangan Kiwi yang sedikit perlahan pada sesi New York semalam kembali melonjak pada sesi Asia hari ini setelah data inflasi New Zealand dikeluarkan pada awal sesi. Data indeks harga pengguna untuk suku kedua 2019 seperti jangkaan telah meningkat kepada 0.6% mengatasi bacaan 0.1% pada suku tahun pertama.

Turut menjadi tumpuan pada sesi Asia pagi ini adalah minit mesyuarat bank pusat Australia untuk Julai 2019. Reserve Bank of Australia (RBA) menyampaikan petunjuk penting kepada pasaran dengan kenyataan bahawa bank pusat bersedia untuk mengubah dasar monetari “jika diperlukan”.


Matawang Aussie bakal terkesan oleh data pekerjaan pada Khamis ini dengan jangkaan penurunan pada angka pertambahan pekerjaan baru di Australia. Pelabur pasti lebih berwaspada untuk mengawal posisi dagangan dolar AUD menjelang data penting tersebut.

Matawang utama iaitu dolar Amerika Syarikat pula masih lagi didagangkan berisiko dengan jangkaan penurunan kadar oleh Federal Reserve untuk mesyuarat Julai. Pasaran telah pun menyerap jangkaan penurunan nilai USD dengan jangkaan sekitar 30 mata asas diturunkan pada mesyuarat polisi 31 Julai nanti.

Sementara itu, pelabur akan memberi tumpuan terhadap data jualan runcit Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan pada jam 8.30 malam ini. Dengan jangkaan penurunan pada angka bacaan kali ini, USD diramalkan akan terus didagangkan berisiko.