Perkembangan Rundingan

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Steven Mnuchin berkata beliau akan bersama dengan Wakil perdagangan AS, Robert Lighthizer akan berkunjung ke Beijing untuk rundingan perdagangan jika perbualan menerusi talian telefon pada minggu ini adalah produktif.

Mnuchin pada Isnin memberitahu wartawan ketika di White House bahawa mereka mengharapkan perbincangan tahap tinggi menerusi panggilan telefon pada minggu ini dalam usaha untuk melanjutkan proses rundingan dan beliau merasakan ia adalah peluang yang baik untuk berkunjung ke Beijing.

Panggilan telefon tersebut merupakan kali kedua untuk urusan perdagangan selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping bersetuju untuk gencatan perdagangan pada persidangan G20 akhir Jun lalu.

Kedua-dua pemimpin ekonomi gergasi dunia itu bersetuju untuk memulakan semula rundingan namun tidak memberikan tempoh masa yang tepat untuk perjanjian bakal tercapai.

Pada awal minggu ini, Donald Trump telah menyatakan bahawa tarif yang dikenakan ke atas China telah memberikan impak besar terhadap ekonomi gergasi Asia itu. Dalam kenyataan melalui akaun media sosial Twitter beliau ada menulis bahawa tarif yang dikenakan telah mengakibatkan banyak syarikat-syarikat yang mahu keluar daripada China untuk mengelakkan tarif. Ini adalah punca utama mengapa China terdesak mahukan rundingan.

Komen Trump tersebut dikeluarkan beberapa jam selepas China menerbitkan data ekonomi dengan melihatkan kadar pertumbuhan GDP yang menurun kepada 6.2% untuk suku tahun kedua 2019, merupakan kadar terendah sejak 1992 sebermula data ekonomi tersebut diterbitkan.

Perjanjian Pertanian

Sementara itu, Trump pada minggu lalu telah merungut menyatakan bahawa China tidak mematuhi janji yang dipersetujui pada pertemuan ketika persidangan G20 lalu untuk meningkatkan permintaan produk pertanian daripada Amerika Syarikat.

China pula memberi respon bahawa mereka mempertimbangkan untuk tambahan pembelian kacang soya, jagung dan daging babi sebagai tindakan koperasi namun jumlah pembelian akan bergantung terhadap perkembangan proses rundingan dagang.

Menurut Penasihat Ekonomi AS, Larry Kudlow menyatakan bahawa Amerika Syarikat menjangkakan China akan mengumumkan permintaan dengan skala yang besar untuk produk pertanian dan perkhidmatan dalam jangka masa yang terdekat.

Trump ada menyatakan bahawa Presiden Xi merupakan rakannya. Beliau pernah menjadi rakan baik, namun mungkin tidak seakrab yang dulu.

“Saya harus berkhidmat untuk negara saya. Dia untuk China dan saya untuk Amerika Syarikat, dan begitulah cara yang harus diteruskan”, komen Trump kepada wartawan ketika di White House pada Isnin.