Harga minyak mentah yang mengalami kejatuhan pada sesi sebelum ini kembali stabil berikutan operasi pengeluaran minyak di Teluk Mexico kembali beroperasi semula. Operasi pengeluaran dihentikan sebelum ini ekoran berdepan fenomena ribut tropika Barry pada hujung minggu lalu.

Pengeluar pada Isnin kembali membekalkan semula dengan anggaran kasar sekitar tiga per empat bekalan minyak yang dihentikan di pelantar Teluk Mexico berikutan ancaman ribut Barry.

Situasi tersebut sedikit menjejaskan pengeluaran namun pasaran minyak telah kembali normal semula.

Sekitar 1.3 juta tong sehari pengeluaran minyak yang dihentikan di perairan Amerika Syarikat di Teluk Mexico pada Isnin, dengan jumlah sekitar 80,000 tong lebih rendah berbanding pada Ahad.

Para pekerja juga telah mula kembali semula di lebih 280 pelantar pengeluaran yang dihentikan. Ia akan mengambil masa beberapa hari untuk pengeluaran penuh diteruskan semula selepas ribut yang melanda Teluk Mexico telah reda.

Pasaran juga turut didorong oleh isyarat kenaikan lebih tinggi pada pengeluaran di Amerika Syarikat dengan sasaran untuk menjadi pengeluar minyak terbesar dunia mengatasi pengeluar utama terdahulu seperti Rusia dan Arab Saudi.

Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat menyatakan berkenaan laporan bulanan aktiviti galian bahawa jumlah pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat daripada tujuh formasi syal utama, dijangka bakal meningkat sekitar 49,000 tong sehari pada Ogos, dengan mencatatkan rekod 8.55 juta tong sehari.

Secara keseluruhan, pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat terkini sudah melebihi paras 12 juta tong sehari.

Faktor kenaikan pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat akan mendorong usaha Rusia dan Arab Saudi untuk mengurangkan inventori minyak global dengan meyakinkan organisasi pembekal oleh OPEC dan juga selain OPEC, untuk mengurangkan pengeluaran.

Kumpulan pembekal minyak global iaitu OPEC+ telah bersetuju pada awal bulan ini untuk melanjutkan pengurangan pengeluaran untuk 9 bulan akan datang.