Sesi pasaran Asia untuk permulaan minggu ketiga bagi Julai memberi tumpuan terhadap data penting ekonomi China melibatkan bacaan kadar pertumbuhan GDP dan lain-lain.

Setelah diamati, bacaan yang dikeluarkan agak bercampur-campur namun pasaran cenderung melihat keseluruhan data ekonomi bagi China masih positif.

Data tumpuan utama iaitu kadar pertumbuhan GDP di China meningkat pada kadar 6.2% seperti yang dijangkakan oleh pasaran untuk suku tahun kedua 2019. Kadar tersebut adalah sedikit rendah berbanding catatan 6.4% pada suku pertama tahun ini.

Bacaan bagi kadar pengangguran pula mencatatkan kenaikan kepada 5.1% untuk bulan Jun berbanding 5.0% pada bulan sebelumnya.

Namun, penurunan pada data-data tersebut kembali disokong oleh data jualan runcit China yang melonjak tinggi iaitu pada kadar 9.8% berbanding jangkaan penurunan 8.5% daripada 8.6% pada bacaan terdahulu.


Turut mencatatkan peningkatan adalah data pengeluaran perindustrian yang mencatatkan kenaikan pada kadar 6.3% lebih tinggi mengatasi jangkaan kenaikan 5.2% daripada 5.0% sebelum ini.

Dengan bacaan keseluruhan data yang ditafsirkan positif oleh pasaran, sentimen pasaran dijangka akan bergerak positif menyokong pertumbuhan global.

Matawang komoditi terutama dolar Australia dan New Zealand ketara mencatatkan peningkatan berbanding matawang utama yang lain susulan data China dikeluarkan sebentar tadi.

Data jualan runcit dan pengeluaran perindustrian di China yang melonjak menyenangkan pelabur Aussie disebabkan faktor China sebagai pelanggan terbesar pasaran Australia.

Namun begitu, para pelabur dinasihatkan supaya berwaspada untuk tidak terus beranggapan bahawa ekonomi China berada dalam keadaan yang kukuh. Dengan kadar pertumbuhan yang menurun untuk suku tahun kedua, ekonomi China berkemungkinan bakal berdepan tekanan terhadap risiko pertumbuhan yang perlahan.