Dagangan dolar Amerika Syarikat sedikit meningkat setelah data China yang dikeluarkan bercampur-campur walaupun pergerakan harga dilihat masih bergerak perlahan pada permulaan dagangan minggu ini.

Dagangan dolar Australia dan dolar New Zealand yang mengukuh ekoran memberi reaksi terhadap peningkatan tinggi pada bacaan data pengeluaran perindustrian serta data jualan runcit di China mula perlahan menjelang pembukaan sesi pasaran Eropah.

Walaupun keseluruhan data ekonomi China diterjemahkan positif, namun data yang lebih penting iaitu kadar pertumbuhan KDNK (GDP) membimbangkan pelabur apabila data bagi pertumbuhan suku tahun kedua tahun ini merekodkan bacaan yang terendah dalam tempoh 27 tahun.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam kenyataannya menerusi media akaun sosial Twitter beliau menyatakan bahawa ekonomi Amerika Syarikat sedang berkembang baik walaupun dasar bertentangan oleh Federal Reserve.

Indeks dolar Amerika Syarikat serta hasil pulangan perbendaharaan 10-tahun AS turut dilihat cuba mencatatkan peningkatan kembali dan pasaran emas akan kembali menurun.

Beralih perkembangan di Britain, akhbar The Times melaporkan Boris Johnson yang merupakan calon utama bakal menggantikan Theresa May sebagai pemimpin, telah bersedia untuk berunding perjanjian perdagangan Brexit bersama Amerika Syarikat sebagai langkah awal selepas menjadi Perdana Menteri Britain.

Menyentuh berkenaan pasaran minyak mentah, harga minyak diniagakan rendah ekoran pertumbuhan China yang perlahan selain berdepan faktor ribut tropika Barry menjejaskan operasi dengan risiko ancaman banjir.

Iran pula telah menyatakan bahawa mereka bersedia untuk mengadakan rundingan bersama Amerika Syarikat jika Washington menarik balik sekatan dan menyertai semula perjanjian nuklear 2015.