Dagangan pada minggu ini yang semakin menghampiri penghujungnya melihatkan dagangan dolar Amerika Syarikat kekal lemah untuk hari ketiga dagangan berturut-turut dengan data inflasi Amerika Syarikat yang mengatasi jangkaan tidak mampu menggugat keyakinan pendirian polisi bank pusat Federal Reserve untuk menurunkan kadar faedah pada mesyuarat akhir bulan ini.

Berbanding matawang utama yang lain, dolar USD mencatatkan kejatuhan 0.1% kepada 96.94 dan meninggalkan kesan penurunan terbesar mingguan untuk tempoh 3 minggu.

Ketua Penyelidikan Matawang di Commerzbank menyatakan penurunan kadar faedah ketika data inflasi yang lemah adalah masuk akal, namun isyarat dovish oleh bank pusat ketika data inflasi meningkat adalah sedikit janggal dan merasakan wujud tekanan politik terhadap Federal Reserve.

Dagangan dolar Euro sedikit merosot pada sesi Eropah petang ini berikutan data indeks harga borong di Jerman yang dikeluarkan pada jam 2 petang mencatatkan penurunan pada kadar -0.5% untuk bulan Jun.

Namun, Euro kembali disokong oleh data pengeluaran perindustrian di zon Eropah untuk bacaan bulan Mei bakal dikeluarkan pada jam 5 petang dengan mencatatkan angka meningkat lebih tinggi berbanding jangkaan kenaikan oleh pasaran.

Seterusnya, tumpuan pada sesi pasaran New York malam nanti akan terarah pada data indeks harga pengeluar di Amerika Syarikat dengan jangkaan angka yang kekal seperti bacaan sebelumnya.

Sementara itu, data yang menjadi perhatian para pelabur pada hari ini adalah data ekonomi China di mana secara keseluruhannya, bacaan data menunjukkan angka yang positif.

Lebihan dagangan China mengembang kepada USD50.98 bilion pada Jun berbanding USD40.91 bulan sama tahun lalu. Peningkatan tersebut adalah merupakan tertinggi sejak Disember tahun lalu dengan kadar eksport menurun 1.3% unjuran tahun ke tahun sementara kadar import menguncup lebih pantas kepada 7.3%.

Data ekonomi China yang positif turut menyokong dagangan matawang komoditi seperti Aussie dan Kiwi yang menunjukkan peningkatan pada dagangan penghujung minggu.